Pembantu pegawai agensi ditahan bantu siasatan kes rasuah 


SEORANG pembantu pegawai di sebuah agensi ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM20,000 berhubung pembocoran maklumat.

Menurut sumber, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru, kira-kira 12.30 tengah hari tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada 2020 hingga tahun lepas, lelaki berkenaan yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai tadbir di sebuah jabatan telah meminta dan menerima rasuah daripada dua perunding projek sebagai balasan membantu membocorkan maklumat berkaitan projek hendak dipohon oleh kedua-dua individu tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok, bagi permohonan reman. – Bernama, 7 April, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen