Kafe bantu bangunkan semula sekolah Cina di Kulai


Angie Tan

Kafe Bookke di Kulai, Johor dibuka bagi membantu 15 sekolah rendah Cina di kawasan itu. – Gambar The Malaysian Insight, 7 April, 2022.

KAFE Bookke di Kulai, Johor merupakan outlet dengan agenda yang sangat berbeza - bagi membantu membangunkan semula 15 sekolah rendah Cina di kawasan itu.

Pengurusan kafe itu berkata mereka berbuat demikian dengan menyerahkan 80% keuntungan kepada sekolah berkenaan.

Ini tidak mengejutkan kerana kafe berusia sebulan itu ditubuhkan oleh sekumpulan masyarakat awam yang menamakan kumpulan mereka Jawatankuasa Kerja Sekolah Cina di Kulai dengan tujuan untuk menambah baik sekolah Cina di kawasan itu.

Pengerusi jawatankuasa itu Alfred Goh Leng Hock yang juga pencetus idea kafe itu berkata outlet yang menjual kesusasteraan Cina telah menarik sokongan orang ramai.

“Keunikan kafe ini ialah 80% daripada keuntungan kafe dikembalikan kepada sekolah Cina dan 20% lagi digunakan untuk operasi kafe.

“Kami memutuskan untuk membuka kafe itu kerana pembangunan pendidikan Cina memerlukan dana.

“Tetapi dengan ekonomi yang semakin pulih (disebabkan oleh Covid-19 dan penutupan berterusan) tidak mudah untuk mendapatkan dana,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Goh berkata jawatankuasa itu mengambil masa tiga tahun untuk membuat persiapan bagi menubuhkan kafe itu yang pada asalnya dijadualkan dibuka pada Mei tahun lepas.

“Ia kemudiannya ditangguhkan ke tahun ini susulan kesan daripada Covid-19.

“Cabaran terbesar yang dihadapi oleh jawatankuasa ketika merancang pembukaan kafe ialah mendapatkan dana.

“Saya percaya semua orang bersetuju dengan konsep ‘menyokong sekolah melalui perniagaan’ tetapi apabila anda mahu melaksanakannya ia adalah isu lain sama sekali dalam mendapatkan sokongan,” katanya.

Sebanyak 80% keuntungan Kafe Bookke di Kulai, Johor ini akan disalurkan kepada 15 sekolah rendah Cina di kawasan itu. – Gambar The Malaysian Insight, 7 April, 2022.

Beliau berkata kafe itu menyajikan makanan tempatan dan Cina dengan kopi serta teh.

“Kami tidak mendapat sebarang keuntungan daripada kafe itu kerana keuntungan 20% keuntungan itu digunakan sebagai kos operasi kerana kafe itu mempunyai dua pekerja ditambah pula kami mempunyai bil utiliti dan perbelanjaan lain.

“Pekerja lain di sini membantu secara sukarela termasuk isteri saya yang merupakan pengurus kedai, membantu dan menyelia di sini,” katanya.

Katanya kafe itu mempunyai sudut bacaan, pejabat jawatankuasa kerja, dewan kuliah dan bilik kaunseling.

“Kafe ini dibuka enam hari seminggu dan hampir setiap hari penuh sejak ia dibuka. Saya sangat gembira mendapat sambutan hangat daripada orang ramai,” katanya.

Goh berkata jawatankuasa itu bercadang untuk mengembangkan kafe itu ke daerah lain di Johor.

“Apabila sudah bertapak barulah kita akan mempromosikan dan mengembangkan konsep itu ke seluruh Johor.

“Apabila kafe itu berjaya ia akan membawa kesan positif kepada pembangunan pendidikan Cina,” katanya. – 7 April, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen