Pas bersama Bersatu dalam PRN Johor

Pas bersama Bersatu dalam PRN Johor

HADI Abdul Awang (dua dari kiri) menandatangan poster bersama Muhyiddin Yassin (tiga dari kanan) sebagai simbolik perasmian Muzakarah Pas Bersatu di Shah Alam, Selangor hari ini. Turut hadir Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Seri Ahmad Faisal Azumu dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan. - FOTO/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas serta parti komponen lain akan kekal bersama dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti mana dilakukan dalam di Melaka pada November lalu.

Malah, gabungan itu juga mengambil iktibar daripada keputusan PRN Melaka untuk menyusun semula strategi bagi menentukan faktor kemenangan PN dalam PRN Johor.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN jelas mahu mendapatkan mandat daripada rakyat untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi pilihan raya nanti.

“Kami ambil iktibar apa yang berlaku di Melaka, kami tahu keadaan di sana, sudah tentu di Johor adalah berbeza, lebih ramai pengundi, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sudah tentu kita merujuk kepada keputusan di Melaka untuk menyusun semula strategi yang akan menentukan kemenangan.

“Sebab itu strategi tidak didedahkan lagi, tetapi kita tahu apa yang patut dilakukan dan sebahagiannya sudah pun  dinyatakan di dalam resolusi. Selebihnya nanti kita akan maklum bila sudah menghadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Muzakarah Pas Bersatu yang berlangsung sejak selama dua hari sejak semalam di sini.

Muhyiddin menambah, pembahagian kerusi dan jumlah yang akan ditandingi akan ditentukan tidak lama lagi, namun akan menampilkan gandingan sama seperti di Melaka itu mengetengahkan calon dalam kalangan anak muda terdiri daripada pemuda dan wanita.

Terdahulu Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor yang akan menyaksikan kesemua 56 kerusi dipertandingkan dalam PRN selewat-lewatnya Mac ini.

Dalam pada itu, menerusi muzakarah bersama Pas yang julung kali diadakan mencapai kata putus untuk  terus memperkukuhkan hubungan mereka dan mendukung ‘prinsip bersama’ serta menolak budaya politik ekstrim.

Menurutnya Muhyiddin, lima resolusi dicapai dengan kesepakatan mendukung nilai integriti, kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif serta menawarkan penyelesaian bagi memulihkan negara.

“Melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat.

“Mengambil daya usaha untuk melonjakkan sokongan undi penentu dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda melalui penjenamaan dan mesej jelas yang diterima rakyat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya