Hampir 80% PKS Sarawak tak dapat bantuan pandemik, kata Abang Johari


Desmond Davidson

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg diapit Timbalan ketua Menteri Dr Sim Kui Hian (kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Jaul Samion ketika mengumumkan skim Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) ke-lapan di Kuching hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2022.

MAKLUMAT borang yang tidak tepat atau tidak lengkap menyebabkan 77.7 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negeri yang memohon skim Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 pada Oktober tahun lepas ditolak, kata Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg.

Beliau berkata 12,809 permohonan diterima pada hari tarikh penyerahan pada Oktober tahun lepas untuk bantuan kewangan RM10,000 secara sekali bagi itu.

Bagaimanapun daripada jumlah ini, 9,955 permohonan atau 77.7 peratus daripadanya didapati mengemukakan dokumen perniagaan yang tidak lengkap atau tidak tepat.

“Penolakan itu dibuat oleh sistem komputer, bukannya manusia. Jadi pembayaran tidak dapat dibuat,” katanya di Kuching hari ini.

Abang Johari berkata jawatankuasa penilaian skim itu telah mengenal pasti 22,110 PKS dan 24,322 perniagaan mikro milik usahawan Sarawak yang layak menerima bantuan tersebut.

Bagi menangani penolakan sistem komputer terhadap data yang salah, beliau berkata pegawai Unit Perancang Ekonomi negeri menghubungi PKS yang tidak berjaya bagi mendapatkan maklumat yang betul dan dokumen perniagaan.

Bagaimanapun, proses pengesahan masih diteruskan walaupun sehingga bulan ini.

Setakat ini RM20.6 juta telah diagihkan, tambahnya.

Abang Johari memberi jaminan yang PKS akan dibayar.

Ketua menteri hari ini mengumumkan ansuran BKSS 8.0 bagi mengurangkan kesan Covid-19 terhadap perniagaan di Sarawak.

Ansuran kelapan bernilai RM285.47 juta.

Bagi membantu lagi perniagaan, Abang Johari berkata Sarawak akan meneruskan diskaun bil elektrik dan air sehingga Jun, serta diskaun 50 peratus untuk sewa hartanah di bawah skim Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC).

Langkah lain termasuk pengecualian sewa untuk PKS yang beroperasi di premis perniagaan milik syarikat negeri dan syarikat berkaitan kerajaan, dan insentif sekali sahaja kepada pengusaha bot sungai, pemilik van penumpang berdaftar, pemandu teksi dan pengusaha bas, termasuk bas sekolah.

Diskaun bil elektrik, antara 5 peratus hingga 25 peratus, akan memanfaatkan 647,000 pengguna, kata Abang Johari, dan akan menelan belanja kerajaan negeri sebanyak RM166.8 juta.

Diskaun bil air antara 10 peratus dan 25 peratus pula akan menelan belanja RM24 juta dan memberi manfaat kepada 647,000 pengguna, katanya. – 28 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen