Isteri imam masjid antara tiga maut dalam kemalangan jalan raya di Merapoh, Lipis - Utusan Malaysia

Isteri imam masjid antara tiga maut dalam kemalangan jalan raya di Merapoh, Lipis

KEADAAN kereta Toyota Corolla Altis dipandu oleh Imam Masjid Merapoh remuk teruk di bahagian kiri turut meragut nyawa isterinya dan dua orang penumpang dalam kemalangan di Kilometer 84, Jalan Lipis - Merapoh di Lipis, Pahang. - FOTO IHSAN PENDUDUK MERAPOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Isteri Imam Masjid Merapoh, Lipis antara tiga orang wanita yang maut dalam kejadian kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 84, Jalan Lipis – Merapoh pada pukul 2.30 petang semalam.

Mangsa, Rosnani Md. Daud, 28, yang berada di tempat duduk hadapan kiri kereta yang dipandu suaminya yang juga Imam Masjid Merapoh, Wan Mohd. Azizol Wan Daud, 35, cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Lipis.

Turut maut di tempat kejadian iaitu, seorang guru tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Mentara Baharu, Mariam Ariffin, 41, akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan dada.

Seorang lagi penumpang kereta, Che Mazenah Hussin, 61, yang beralamat Kuarters Klinik Kesihatan Merapoh turut maut di tempat kejadian kerana cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, siasatan awal kemalangan itu berpunca apabila kereta Toyota Corolla Altis yang dipandu oleh Wan Mohd. Azizol dan ditumpangi ketiga orang mangsa dalam perjalanan dari arah Merapoh ke bandar Kuala Lipis.

“Setiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu Wan Mohd. Azizol cuba menggelak sebuah motosikal yang tiba-tiba keluar dari simpang sebuah rumah di laluan menghala arah yang sama.

“Ketika cuba mengelak motosikal berkenaan, kereta Toyota Corolla Altis itu hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan kemudiannya berpusing memasuki laluan bertentangan serta dilanggar sebuah van syarikat Securiforce,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, akibat pelanggaran itu dua orang penumpang belakang kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penumpang tempat duduk hadapan kiri yang juga isteri kepada pemandu kereta meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.

“Wan Mohd. Rosli juga mengalami kecederaan, iaitu patah tangan kiri, manakala pemandu van Syarikat Securiforce cedera di bahagian muka, dan dua orang lagi penumpang kenderaan itu patah kaki kiri dan patah kaki kanan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Lipis dan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian akan dilakukan selepas ujian saringan Covid-19.

“Keadaan kereta Toyota Corolla Altis rosak teruk pada bahagian sisi sebelah kiri, manakala van Syarikat Securiforce juga mengalami kerosakan bahagian kenderaan,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya