Raih Anugerah Dekan walau belajar sambil urus abang OKU - Utusan Malaysia

Raih Anugerah Dekan walau belajar sambil urus abang OKU

MUHAMMAD Hakimi Abdullah cekal menguruskan abangnya yang merupakan OKU di rumah mereka di Kampung Putat 7, Rantau Panjang, Kelantan. – UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Pelajar Politeknik Kota Bharu, Muhammad Hakimi Abdullah, 20, terpaksa bergelut membahagikan masa menguruskan abangnya, Muhammad Khairul Anuar, 22, yang kurang upaya sambil belajar sejak hampir dua tahun lalu.

Bagaimanapun, pelajar semester tiga Diploma Kejuruteraan Awam yang kini mengikuti kelas secara dalam talian itu tetap setia membantu bapa, Abdullah Zakaria, 62, dan ibu, Nur Hela Che Daud, 56, untuk menguruskan abangnya mandi atau membuang air.

Lebih membanggakan, anak kepada pasangan penoreh getah dari Kampung Putat 7, di sini juga masih mampu mengekalkan gred cemerlang sehingga mene­rima Anugerah Dekan selama tiga semester berturut-turut.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemuda itu mengakui bergelut cuba membahagikan masa, namun, dia sentiasa berfikiran positif dan ikhlas mahu meringankan beban kedua ibu bapa yang sudah tua menguruskan abangnya.

“Saya tidak sanggup membiarkan ibu dan ayah yang sudah tua bersusah payah mengangkat abang yang merupakan OKU sejak lahir ke tandas di luar rumah dua kali sehari untuk mandi, tidak termasuk buang air.

“Ibu memahami tanggungjawab saya sebagai pelajar. Jika saya ada kelas atau ujian pen­ting, ibu juga berkorban masa tidak turun ke kebun untuk menoreh jika tahu saya ada kelas atau ujian penting,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Terdahulu, keluarga itu me­nerima kunjungan Naib Pengerusi Parti Bangsa Malaysia (PBM) Kelantan, Nor Aniza Rashid bersama rombongannya yang turut menyampaikan sumbangan kepada Muhammad Khairul Annuar.

Muhammad Hakimi dalam pada itu bersyukur fokusnya terhadap pelajaran tidak pernah lari walaupun terpaksa membahagikan masa untuk menguruskan abang dan mengikuti kelas secara dalam talian.

“Rasa penat menguruskan abang hilang apabila melihat dia tersenyum gembira selepas dimandikan dan dipakaikan dengan pakaian baharu,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga Muhammad Khairul Anuar boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad 0302-7029-6339-14 atas nama Muhammad Hakimi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya