Anwar gesa Zafrul perjelas isu pinjaman tidak bercagar kepada Genting HK


Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi penjelasan bagaimana tiga bank tempatan memberikan pinjaman tidak bercagar kepada Genting Hong Kong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2022. 

ANWAR Ibrahim menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz memberi penjelasan bagaimana tiga bank tempatan yang mempunyai kepentingan kerajaan yang besar memberikan pinjaman tidak bercagar kepada pengendali kapal persiaran Genting Hong Kong yang memfailkan penggulungan perniagaannya.

Tiga bank tempatan itu ialah Malayan Banking Berhad (Maybank), CIMB Group Holdings Berhad dan RHB Bank Berhad.

Dalam pemfailan kepada bursa Hong Kong minggu lalu Genting berkata syarikat itu tidak dapat membayar hutangnya.

Syarikat itu juga berkata wang tunainya akan habis menjelang akhir bulan ini.

Ketua pembangkang dan ahli Parlimen Port Dickson dalam satu kenyataan berkata soalan yang perlu dijawab oleh Zafrul ialah: mengapa bank yang mempunyai kepentingan kerajaan melalui Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi pinjaman tidak bercagar kepada syarikat perjudian asing?

Beliau berkata walaupun syarikat itu berdaftar di Hong Kong pemiliknya adalah ahli perniagaan Malaysia yang sekurang-kurangnya perlu diminta jaminan peribadi atau simpananya dalam syarikat milik di Malaysia.

Ahli perniagaan yang dimaksudkan Anwar ialah Lim Kok Thay, pengerusi dan ketua pegawai eksekutif pengendali kapal persiaran yang terlibat.

“Bagaimana ketiga-tiga bank ini melanjutkan pinjaman perlu dijelaskan,” katanya.

Beliau juga mahu menteri kewangan menjelaskan bagaimana pinjaman RM2.4 bilion yang dilanjutkan akan dibayar semula oleh “Genting Hong Kong yang sudah bankrap”.

Anwar berkata penjelasan itu diperlukan segera bagi mengelak berulangnya skandal BMF Hong Kong, merujuk kepada salah satu skandal kewangan terbesar Malaysia sebelum 1MDB melibatkan Bank Bumiputra yang kehilangan AS$1 bilion pinjaman kepada Hong Kong Carrian Group.

Laporan di Straits Times Singapura menyatakan jumlah pinjaman tiga bank berjumlah AS$600 juta (RM2.51 bilion). – 26 Januari, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen