BN bincang persiapan PRN Johor hari ini


Sinar Harian melaporkan pertemuan hari ini bagi membincangkan persiapan untuk PRN Johor, termasuk pengagihan kerusi antara parti komponen BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2022.

BARISAN Nasional (BN) mengadakan pertemuan hari ini di Johor Bahru membincangkan persiapan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk pengagihan kerusi antara parti komponennya, lapor media.

Pertemuan dihadiri pemimpin kanan parti bersama pemimpin Umno, MCA dan MIC negeri, lapor Sinar Harian.

Antara yang hadir ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya Mohamad Hasan, yang difahamkan berada di Johor sejak semalam.

Dua pemimpin kanan Umno yang juga dari Johor iaitu Naib Presiden Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agong Ahmad Maslan juga hadir.

Malam tadi, Zahid dan Mohamad mengadakan pertemuan tertutup dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Hasni Mohamad yang juga menteri besar. Pertemuan disertai pemimpin Umno negeri yang lain, lapor media.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden Umno turut hadir.

Mohamad sebelum ini berkata Umno akan bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi negeri sementara baki 14 akan ditandingi MCA dan MIC.

“Kami menyasarkan minimum 42 daripada 56 kerusi DUN di Johor. Ini hanya mengambil kira Umno sahaja,” katanya.

Presiden MIC SA Vigneswaran pula berkata MIC sudah mengenal pasti empat atau lima kerusi yang boleh dimenanginya.

Hasrat itu juga beliau maklumkan kepada Hasni selaku pengerusi BN Johor pada Ahad.

Semalam, Hasni juga mengadakan pertemuan berasingan dengan bahagian-bahagian Umno negeri di Pagoh dan Ayer Hitam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat 9 Februari untuk menentukan tarikh dan proses PRN Johor.

DUN Johor dibubarkan Sabtu lalu atas perkenan Sultan Johor, membuka jalan untuk pilihan raya negeri diadakan dalam masa 60 hari.

Menurut Hasni, pilihan raya itu perlu bagi mendapatkan mandat baharu rakyat kerana pentadbirannya “tidak boleh bergantung atas ihsan pembangkang.” – 26 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen