Kerajaan tentukan agihan vaksin Sinopharm - Utusan Malaysia

Kerajaan tentukan agihan vaksin Sinopharm

MAJLIS Penyerahan sumbangan vaksin Sinopharm daripada kerajaan UAE kepada Malaysia di KLIA, Sepang, Selangor. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Semua sumbangan bekalan vaksin Covid-19 yang diberikan oleh kerajaan asing akan ditentukan pengagihan seterusnya oleh pihak Kementerian Kesihatan terlebih dahulu.

Ini termasuk status vaksin berkenaan sama ada sebagai pelalian utama atau dos penggalak yang akan diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja Teknikal Vaksin Covid-19 di kementerian itu.

Pihak jawatan kuasa ini yang bakal menetapkan ke mana hala tuju vaksin itu,” kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh.

Terdahulu, beliau menyertai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyambut ketibaan vaksin Sinopharm disumbangkan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di KLIA di sini hari ini.

Ia disampaikan Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar UAE di Kuala Lumpur, Nour Ibrahim Ali Rasheed alKuwaiti yang mewakili Duta Besarnya, Khalid Ghanim Mohammad Alghaith.

Vaksin itu dibawa khas dengan penerbangan komersial EK346 pesawat syarikat kebangsaan Emirates dan selamat mendarat di terminal KLIA terus dari Dubai kira-kira pukul 2.30 petang.

Sejumlah sejuta dos vaksin berkenaan bakal diterima dengan penghantaran fasa pertama sebanyak 500,000 dos manakala yang berikutnya pula dalam masa dua minggu akan datang.

UAE merupakan negara keenam yang tampil memberi sumbangan vaksin Covid-19 secara percuma kepada negara ini selepas China, Jepun, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan Britain.

Mengulas lanjut, Harjeet Singh berkata, pelbagai faktor akan diteliti sebelum jawatan kuasa khas tersebut menetapkan siapakah yang bakal menerima vaksin diberikan kerajaan luar.

“Bagaimanapun, buat sementara waktu, vaksin yang diterima ini sudah pun diperakui oleh pihak jawatan kuasa untuk dibawa masuk ke Malaysia sebelum proses pengagihan,” katanya.

Justeru, beliau meminta masyarakat tidak perlu bimbang dengan kualiti vaksin ihsan tersebut kerana walaupun diberikan percuma oleh negara luar, ia tetap diteliti pihak kementerian.

Vaksin Sinopharm turut dikilangkan di UAE dengan lebih 200 juta dos dikeluarkan setahun dan diberi jenama sebagai Hayat-Vax selain juga dieksport ke banyak negara di seluruh dunia.

Di Malaysia, vaksin keluaran China ini turut dibekalkan dengan kerjasama firma tempatan, Duopharma Biotech Berhad sejak September lalu bagi yang berusia 18 tahun hingga 59 tahun.

Ia selepas mendapat kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kementerian Kesihatan pada Julai tahun lalu untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya