Keadaan Dr Mahathir bertambah baik, kata Marina


Keadaan Dr Mahathir Mohamad semakin pulih dan boleh bergurau senda dengan ahli keluarganya, kata Marina Mahathir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2022.

KEADAAN Dr Mahathir Mohamad semakin pulih dan selera makannya sudah kembali, kata anak perempuan bekas perdana menteri itu petang tadi.

Marina Mahathir berkata bapanya akan terus dipantau oleh pakar di Institut Jantung Negara (IJN) dan masih tidak dibenarkan menerima pelawat selain keluarga terdekat.

“Beliau mempunyai selera makan yang bertambah baik dan sempat berseloroh dengan ahli keluarga yang berada di sisi beliau di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata lelaki berusia 96 tahun itu juga dimaklumkan mengenai semua ucapan selamat yang dihantar termasuk daripada pemimpin asing dan orang ramai. 

“Dr Mahathir berserta keluarga, berasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan agar beliau segera pulih.

“Beliau juga memohon agar orang ramai tidak terlalu bimbang mengenai keadaan kesihatannya.

“Dr Mahathir akan terus mendapat rawatan di IJN di bawah pengawasan pakar tempatan,” katanya. 

Spekulasi mengenai kesihatan ahli Parlimen Langkawi itu mula diperkatakan selepas beliau dimasukkan ke IJN pada 20 Januari atas sebab yang tidak diketahui.

Marina dalam satu kenyataan sebelum ini berkata bapanya sedang dirawat berikutan prosedur perubatan elektif yang berjaya pada 8 Januari lalu.

Dr Mahathir dibenarkan keluar dari hospital pada 13 Januari selepas prosedur perubatan elektif berkenaan.

Beliau mempunyai sejarah penyakit kardiovaskular, mengalami tiga serangan jantung selama bertahun-tahun dan menjalani pintasan empat kali ganda. – 25 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen