Task force musnahkan babi hutan di Melaka - Utusan Malaysia

Task force musnahkan babi hutan di Melaka

ABDUL RAZAK Abdul Rahman (tengah) menyampaikan bayaran Insentif Sara Hidup One- Off kepada 1,176 nelayan berdaftar di Batu Berendam, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas bertindak (task force) bagi memusnahkan babi hutan yang menyerang beberapa kawasan perkampungan di Melaka sehingga menimbulkan ketakutan kepada penduduk.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pasukan itu ditubuhkan dengan penglibatan bersama pegawai daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan).

“Kita telah mengambil tindakan melalui Perhilitan dengan mewujudkan satu task force bagi menyelesaikan isu babi hutan yang menyerang kawasan penduduk kampung. 

“Pasukan ini akan melakukan operasi memusnahkan haiwan tersebut termasuklah dengan cara menembaknya,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Bayaran Insentif Sara Hidup One- Off kepada 1,176 nelayan berdaftar di Batu Berendam di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan, rutin kehidupan kira-kira 400 penduduk Kampung Kelongkong, Tanjung Kling di sini berubah sekelip mata selepas kawasan itu ‘diserang’ puluhan babi hutan sejak bulan lalu.

Satu video yang sempat dirakam penduduk kampung turut tular dalam media sosial memaparkan beberapa ekor babi berlari di hadapan rumah mereka sehingga menimbulkan suasana panik.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, selain faktor keselamatan penduduk, tindakan memusnahkan haiwan itu diambil kerana pihaknya turut menerima aduan kerugian tanaman daripada para petani. 

“Kita tidak mahulah lebih ramai pekebun, petani mahupun penduduk kampung yang mengusahakan tanaman di halaman rumah terpaksa menanggung kerugian gara-gara tanaman mereka rosak disodok babi. 

“Ada di antara mereka ini mengalami  kerugian mencecah ribuan ringgit,” katanya. 

Dalam pada itu, mengulas lanjut mengenai jangkitan demam babi Afrika (ASF) di ladang ternakan babi di Paya Mengkuang, Alor Gajah, beliau memberitahu, wabak tersebut telah berjaya dikawal sepenuhnya. 

Katanya lagi, masyarakat juga tidak perlu bimbang atau mengaitkan wabak tersebut dengan babi hutan yang berkeliaran di kawasan perkampungan kerana penularan ASF hanya membabitkan ternakan di ladang sahaja.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya