Pakatan guna keputusan PRU14 agih kerusi DUN Johor, lapor media


Tiga parti dalam PH akan mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU14 sementara kerusi yang dimenangi Bersatu akan diagih semula pada PRN Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2022.

PAKATAN Harapan (PH) Johor akan menggunakan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai asas rundingan agihan kerusi untuk pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, lapor Utusan Malaysia.

Pengerusi PH Johor Aminolhuda Hassan berkata asasnya ialah tiga parti dalam PH akan mempertahankan kerusi yang dimenangi pada PRU14 sementara kerusi yang dimenangi Bersatu akan diagih semula.

“Kita bertanding di semua 56 (kawasan) Dewan Undangan Negeri manakala agihannya berdasarkan kerusi dimenangi pada PRU14.

“Baki kerusi Bersatu yang pernah bersama PH, akan diagihkan sesama kita dan mungkin rakan PH Plus,” katanya seperti dipetik portal berita akhbar itu.

Aminolhuda juga dipetik berkata kemungkinan akan ada kerjasama antara PH dan Muda susulan “perkembangan positif” rundingan.

“Setakat ini, agihan kerusi melibatkan PH sahaja dan jika ada kerjasama lain, kita akan bincang kemudian,” katanya.

PH yang bertanding menggunakan logo PKR pada PRU14 menang 36 kerusi, dengan masing-masing PKR menang 5, Amanah 9, dan DAP 14.

Bersatu menang 8 kerusi tetapi kemudian keluar daripada PH dalam percaturan politik Langkah Sheraton yang menjatuhkan kerajaan di Putrajaya serta mengembalikan Umno sebagai teraju pentadbiran Johor.

Semalam, Majlis Presiden PH memutuskan semua parti pembangkang, termasuk Pejuang, Warisan, dan Muda, perlu bekerjasama menyertai PRN Johor.

Sementara itu, The Malaysian Insight hari ini melaporkan akar umbi PKR cenderung untuk PH bertanding menggunakan logo parti itu, sama seperti PRU14.

SPR dijadual bermesyuarat 9 Februari untuk menentukan tarikh dan proses PRN Johor. – 25 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen