Kanak-kanak perlu divaksin demi keselamatan mereka, kata pakar


Khoo Gek San

Langkah kerajaan memvaksin kanak-kanak di bawah umur 12 tahun bertujuan mewujudkan persekitaran selamat di sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2022.

TERDAPAT kelebihan dengan pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun kerana ia akan melindungi mereka apabila ke sekolah, kata pakar kesihatan.

Mereka berkata ibu bapa perlu mendapatkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai berkaitan vaksin dan menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) untuk turut mengumpul maklumat ini supaya ia mudah diakses.

Kumpulan ibu bapa membangkitkan kebimbangan yang kanak-kanak tidak diberi vaksin akan didiskriminasi.

Pakar perunding pediatrik Dr Amar Singh HSS berkata ibu bapa perlu sedar yang pemberian vaksin kepada anak-anak akan membolehkan mereka kembali ke sekolah dengan selamat.

Walaupun difahami kebimbangan ibu bapa mengenai kemungkinan kesan sampingan, Amar berkata mereka harus merujuk kepada saluran yang boleh dipercayai untuk mendapatkan maklumat mengenai vaksin.

Beliau juga menyarankan ibu bapa berjumpa doktor sebelum membuat keputusan.

“Tidak semua doktor tahu tentang vaksin. Jika ibu bapa masih bimbang, mereka boleh pergi ke pusat vaksinasi dan berunding dengan doktor yang ditempatkan di sana mengenai apa yang terbaik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Amar menggesa ibu bapa merujuk kepada Pusat Kawalan Penyakit AS, Kesihatan Awam England dan KKM untuk mendapatkan data yang boleh dipercayai.

Faedah vaksin juga mengatasi risiko jangkitan, katanya.

“Semakin lama virus berada di dalam badan, semakin banyak kerosakan yang akan ditimbulkan kepada organ,” kata Amar.

“Bagi kanak-kanak yang mempunyai imuniti rendah dan individu dalam kumpulan berisiko tinggi, sama ada untuk mendapatkan vaksin atau tidak, boleh diputuskan selepas penilaian pakar.”

Beliau juga menegaskan saranan mendapatkan vaksinasi kanak-kanak adalah cara kerajaan menggalakkan keselamatan di sekolah.

“Sekolah adalah tempat yang unik kerana 90% daripada orang dewasa sudah diberi vaksin tetapi 90% daripada pelajar berumur antara lima dan 11 tahun tidak.”

Ini bermakna kanak-kanak mungkin terdedah kepada jangkitan di sekolah.

Menurut kajian, kesan sampingan terhadap kanak-kanak berumur antara lima dan 11 tahun adalah rendah.

Amar berkata beliau optimis ini akan menggalakkan ibu bapa memberi vaksin kepada anak-anak mereka.

“Terdapat sedikit maklumat tentang kesan sampingan Sinovac, hanya data Pfizer yang komprehensif.

“Diharapkan Sinovac akan memberikan lebih banyak maklumat.”

Pada 6 Januari lalu, KKM meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata janji temu untuk kanak-kanak akan dibuka mulai 31 Januari di Lembah Klang.

Vaksin akan diberikan dalam selang lapan minggu kerana ia juga mengurangkan risiko miokarditis di kalangan kanak-kanak, katanya.

Sehingga kini, 97.9% orang dewasa dan 88.3% remaja mendapat suntikan lengkap vaksin.

Walaupun kadar kebolehjangkitan Covid-19 di kalangan kanak-kanak dan penyakit serius kekal rendah tetapi sekolah mesti terus berwaspada. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Januari, 2022.

Beri data jelas dan ringkas

Sementara itu, bekas timbalan menteri kesihatan Lee Boon Chye menggesa KKM mengumpul lebih banyak data bagi memudahkan ibu bapa memahaminya.

“Saya faham kebimbangan ibu bapa kerana mungkin ada kesan sampingan dan kebimbangan lain mengenai bagaimana ia akan memberi kesan kepada anak-anak dalam jangka panjang. KKM mesti menangani perkara ini.”

Matlamat vaksinasi adalah untuk mencapai imuniti kelompok dan melindungi rakyat.

“Matlamat pertama tidak dapat dicapai kerana vaksin tidak akan menghentikan jangkitan sepenuhnya.

“Sesetengah negara juga sedang mempertimbangkan dos penggalak Pfizer keempat kerana ia mungkin tidak termasuk varian Omicron.”

Adalah penting bagi ibu bapa untuk mempertimbangkan antara kebaikan dan keburukan dalam membuat keputusan mereka, kata Lee.

Jangan diskriminasi kanak-kanak tidak divaksin

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (Page) Noor Azimah Abdul Rahim berkata kadar kebolehjangkitan di kalangan kanak-kanak dan penyakit serius kekal rendah tetapi sekolah mesti terus berwaspada.

“Sebelum Omicron, kadar kebolehjangkitan di kalangan kanak-kanak adalah 0.026% yang kelihatan kecil.

“Namun dari segi bilangan mutlak ia melibatkan puluhan ribu. Kebanyakan kanak-kanak mengalami gejala ringan.

“Terdapat beberapa pengecualian di mana biasanya kanak-kanak yang mempunyai komorbiditi mempunyai kesan serius. Kewujudan Omicron, menjadikan ia lebih menular berbanding sebelum ini.

“(Oleh itu) sekolah perlu terus berwaspada. Adakan lebih banyak kelas dan aktiviti luar,” katanya.

Azimah juga berkata kanak-kanak yang tidak divaksinasi tidak boleh didiskriminasi.

“Pilihan ibu bapa harus dihormati.

“Di UK masih tiada kebenaran bagi kumpulan bawah 12 tahun untuk divaksinasi walaupun dengan dos lebih rendah. Walaupun terdapat faedah yang boleh diperolehi daripada vaksinasi, ‘margin faedah terlalu kecil’.” 

Bincang dengan anak mengenai vaksin

Sementara itu, pakar pembelajaran sosial dan emosi Alice Lee menggalakkan ibu bapa bercakap dengan anak-anak mengenai vaksin.

Lee berkata ibu bapa boleh merujuk kepada Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mulakan dengan menerangkan kesan sampingan yang mungkin berlaku akibat vaksin itu.

“Sesetengah kanak-kanak takut jarum, ibu bapa boleh cuba memberi ganjaran kepada anak-anak untuk menggalakkan mereka atau memberitahu selepas vaksinasi, mereka boleh pergi ke sekolah, bertemu rakan dan juga ke taman permainan.”

Ibu bapa juga harus memberitahu anak-anak untuk bersuara jika mereka mengalami sebarang ketidakselesaan.

Lee berkata ia juga boleh difahami mengapa ibu bapa bimbang kerana tiada kajian mencukupi mengenai kesan vaksin terhadap kanak-kanak.

“Mereka juga berada di bawah tekanan untuk membuat pilihan yang tepat. Kebimbangan mereka juga boleh menyebabkan kanak-kanak tidak selesa.”

Ibu bapa juga harus mencapai kata sepakat sama ada untuk mendedahkan maklumat vaksinasi kepada sekolah atau tidak untuk mengelakkan didiskriminasi. – 25 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen