Kikis tabiat buang sampah secara haram - Utusan Malaysia

Kikis tabiat buang sampah secara haram

Sikap rakyat yang masih suka membuang sampah sesuka hati menyukarkan Malaysia mencapai status negara bersih. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERKEMBANGAN aktiviti pembuangan sampah haram mutakhir ini amat membimbangkan. Meskipun dilaporkan di beberapa kawasan terdapat penurunan bilangan aduan dan penutupan premis sampah haram oleh pihak berkuasa, namun longgokan sampah masih boleh dijumpai di tepi jalan kampung dan ceruk bandar.

Aktiviti pembuangan sampah haram ini berlaku kerana sikap manusia yang mengambil mudah dengan aktiviti tidak bermoral tersebut.

Perbuatan itu bukan sahaja dilakukan oleh individu malah dibuat secara terancang oleh kontraktor atau syarikat memungut sampah.

Sikap hanya mementingkan keuntungan semata-mata menutup mata hati mereka untuk langsung tidak memikirkan kesan akibat pembuangan sampah haram tersebut.

Aktiviti pembuangan sampah haram boleh menyebabkan pelbagai kesan negatif, antaranya pencemaran udara.

Udara tercemar dan berbau busuk yang terhasil daripada proses penguraian sampah secara biologi mahupun kimia bukan sahaja meresahkan penduduk setempat dan mengganggu sesi pembelajaran pelajar di sekolah malah boleh menyebabkan masalah kesihatan lebih serius.

Selain itu, pembuangan sampah haram turut mengundang haiwan pembawa penyakit yang boleh membahayakan kesihatan dan mengancam nyawa seperti nyamuk, lalat, tikus dan lipas.

Saya berpandangan agensi penguatkuasaan harus lebih efektif dalam menangani pesalah-pesalah alam sekitar ini seperti menggiatkan intipan serta mengenakan hukuman setimpal.

Selain itu, kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai perlu sentiasa bersama dan berterusan dalam aktiviti kempen kesedaran dan pendidikan alam sekitar kepada semua lapisan masyarakat.

ALY IDHAM ALYKALLAM, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya