Bekas Adun DAP sertai Warisan


Adun Teratai Bryan Lai keluar DAP pada tahun lepas ketika dakwaan mengenai hubungan sulitnya muncul. – Gambar Facebook, 23 Januari 2022.

WARISAN mendapat seorang wakil rakyat di Selangor selepas Adun Teratai Bryan Lai menyertai parti itu.

Lai yang meletak jawatan dalam DAP ketika dakwaan mempunyai hubungan luar nikah tahun lepas, diumumkan sebagai ahli Warisan di Kota Kinabalu semalam.

Menurut The Star Online, Lai berkata Malaysia memerlukan pemimpin berbilang kaum seperti Mohd Shafie Apdal.

“Kita memerlukan seorang pemimpin berbilang kaum yang sebenar dan (Presiden Warisan) Mohd Shafie Apdal adalah seorang pemimpin yang sederhana dan berfikiran terbuka,” kata Lai.

Selain Lai, Warisan turut menerima dua lagi bekas ahli Parlimen DAP - bekas Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dan bekas Exco Pulau Pinang Danny Law.

Shafie, yang sebelum ini dicadangkan sebagai calon perdana menteri oleh DAP, melancarkan Warisan yang berpangkalan di Sabah untuk menjadi parti nasional di Kuala Lumpur bulan lepas.

Semasa pelancaran itu, Shafie yang merupakan bekas ketua menteri Sabah, mempersoalkan sama ada PKR dan DAP adalah parti berbilang kaum kerana mereka didominasi sama ada Cina atau Melayu.

Minggu lalu, dua Adun DAP dan seorang bekas senator turut meletakkan jawatan dalam DAP di Sabah, dengan alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti.

Adun Sri Tanjong Justin Wong, Adun Elopura Calvin Chong dan bekas senator Adrian Lasimbang berkata mereka kecewa dengan kepimpinan dan hala tuju parti, terutama selepas kelulusan pindaan Akta 1(2) Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini.

Ketiga-tiga mereka bagaimanapun tidak menyatakan sama ada akan menyertai mana-mana parti lagi. – 23 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen