Dr Mahathir stabil di IJN, kata sumber


Kumpulan wartawan sedang berkumpul di luar IJN bagi mendapatkan perkembangan terkini kesihatan Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Januari, 2022.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam keadaan stabil hari ini selepas dimasukkan ke dalam wad di Unit Rawatan Koronari (CCU) di Institut Jantung Negara, kata sumber.

Tiada kenyataan rasmi dikeluarkan tentang keadaan pemimpin berusia 96 tahun itu, tetapi kumpulan wartawan sedang berkumpul di luar hospital bagi mendapatkan perkembangan terkini.

Dr Mahathir baharu keluar daripada rawatan di IJN pada 13 Januari lalu, selepas dimasukkan ke hospital pada 7 Januari untuk prosedur perubatan elektif.

Bulan lepas, ahli Parlimen Langkawi itu dimasukkan sekali lagi ke IJN untuk “pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemerhatian lanjut”.

Beliau mempunyai sejarah penyakit jantung dengan serangan jantung kali pertama berlaku pada 1989 ketika berusia 64 tahun.

Beliau mengalami dua lagi serangan jantung pada 2006 dan menjalani pembedahan pintasan kuadrup.  

Pada November 2013 pula, beliau dirawat kerana masalah jangkitan di dada dan sekali lagi dimasukkan ke IJN pada Ogos 2016. – 22 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen