Malaysia gembira Maimunah dilantik sekali lagi dalam UN-Habitat - Utusan Malaysia

Malaysia gembira Maimunah dilantik sekali lagi dalam UN-Habitat

Maimunah Mohd. Sharif
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kejayaan Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif dipilih sekali lagi oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) membuktikan kemampuan warga Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beliau bagi pihak kerajaan begitu gembira dengan berita positif itu sekali gus menunjukkan pengiktirafan dunia ke atas rakyat negara ini.

“Malaysia menyambut amat baik pelantikan semula beliau sebagai Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat),” jelasnya lagi menerusi kenyataan hari ini.

Kelmarin media antarabangsa melaporkan buat julung kali jawatan itu disambung lagi oleh penyandangnya dan diluluskan Perhimpunan Agung PBB (UNGA) di New York, Amerika Syarikat.

Bahkan, pelantikan semula Maimunah, 60, dibuat atas perakuan oleh Setiausaha Agung PBB sendiri, Antonio Guterres selepas tempoh penggalnya itu berakhir secara rasmi pada Rabu lalu.

Beliau mula dilantik ke jawatan itu pada 20 Januari 2018 setelah menang pemilihan ketika sesi UNGA pada 22 Disember 2017 dan disambung lagi penggal kedua sehingga 19 Januari 2024.  

Lebih manis, agensi berita rasmi antarabangsa China, Xinhua melaporkan pelantikan beliau diterima sebulat suara semua negara anggota PBB tanpa perlu dilakukan proses pengundian.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sepanjang penggal pertama lalu, Maimunah cemerlang memainkan banyak peranan besar dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam isu berkaitan.

“Dengan pelantikan semula itu, Malaysia berkeyakinan beliau akan dapat meneruskan usaha dirancang terutama bagi mencapai misi Agenda Pembangunan Mampan 2030,” tambah beliau.

Pada masa sama, Malaysia ujarnya, turut komited secara konstruktif dengan UN-Habitat dalam merealisasikan perbandaran baharu selaras ditetapkan Matlamat Pembangunan Lestari PBB.

Saifuddin optimis dengan pengalaman luas selama lebih 30 tahun dalam bidang perancangan bandar, segala inisiatif badan dunia tersebut akan memberi faedah besar kepada warga sejagat.

Maimunah yang juga bekas Datuk Bandar Pulau Pinang, muncul sebagai wanita pertama menerajui UN-Habitat bagi menggantikan penyandang sebelumnya, Dr. Joan Clos dari Sepanyol.

Beliau pernah menjadi wanita pertama dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai pada 2011 sebelum pihak berkuasa tempatan itu dinaik taraf menjadi bandar raya.

Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, beliau yang sudah berkahwin dan memiliki dua anak perempuan merupakan graduan Universiti Sains Malaysia serta Universiti Wales, Britain. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya