Penganjur demo protes Azam Baki ubah lokasi 


Ravin Palanisamy

PERHIMPUNAN #TangkapAzamBaki yang dijadualkan esok akan diteruskan namun lokasinya diubah ke LRT Bangsar dan bukan di Sogo Kuala Lumpur, kata penganjur.

“Melihat situasi ini, kami sebagai rakyat Malaysia yang prihatin  tiada pilihan lain kecuali meneruskan dengan gesaan #TangkapAzamBaki pada hari esok, jam 11:00 pagi, Sabtu, 22hb Januari 2022 di bawah jambatan LRT Bangsar, Jalan Bangsar,” kata Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki dalam satu kenyataan malam ini.

Pertukaran tempat itu dibuat selepas polis mendapat perintah mahkamah melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka, kompleks beli-belah Sogo dan Masjid Jamek.

Polis turut mengumumkan lencongan jalan dan tindakan menghentikan operasi stesen kereta api di sekitar ibu negara esok.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata pasukannya mendapat perintah Mahkamah Majistret untuk menghalang perhimpunan berkenaan yang berkuatkuasa esok selama tujuh hari bermula semalam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil bahagian dalam sebarang aktiviti yang bertentangan dengan undang-undang.

Perhimpunan anjuran kumpulan masyarakat sivil dan sayap pemuda beberapa parti pembangkang itu adalah susulan skandal yang menyelubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Kumpulan itu turut menyatakan kekecewaan terhadap polis kerana melencongkan lalu lintas dan menutup stesen kereta api, meletakkan Kuala Lumpur dalam keadaan “Lockdown” hanya untuk seorang individu.

Menurut mereka tindakan polis menunjukkan seolah-olah Azam lebih kebal dan berkuasa berbanding orang yang pernah memegang jawatan tertinggi negara ini.

“Tindakan keterlaluan ini menimbulkan gambaran seolah-olah ada rahsia yang melibatkan watak-watak berprofil tinggi ingin ditutup, terutamanya berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa.

“Kita belum lupa, mantan Perdana Menteri Najib Razak sendiri pernah ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia disebabkan beliau terpalit dengan rasuah.

“Sebaliknya Azam Baki hanya ketua pesuruhjaya SPRM tapi seolah-olah lebih kebal dan berkuasa berbanding orang yang pernah memegang jawatan tertinggi negara ini,” kata kumpulan itu.

Mereka berkata berundur bukan lagi pilihan dan mereka akan melawan, mendesak dan memastikan kedaulatan undang-undang tertegak seperti mana sepatutnya dalam sendi Rukun Negara.

“Kami menyeru seluruh rakyat yang cintakan negara untuk bersama kami, mempertahankan integriti dan menyebar kebencian terhadap rasuah dan perasuah,” tambah mereka.

Gerakan #TangkapAzamBaki disokong oleh 33 kumpulan masyarakat sivil dan 11 organisasi politik.

Penganjur berkata mereka akan memastikan perhimpunan itu dijalankan secara aman mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi meminimumkan penularan Covid-19. – 21 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen