Kerjasama PAS-Umno dibincang lepas DUN Johor bubar, kata Tuan Ibrahim


Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perbincangan sama ada PAS akan bekerjasama dengan Umno pada PRN Johor hanya akan dibuat selepas DUN dibubar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2022.

TIMBALAN Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata perbincangan sama ada PAS akan bekerjasama dengan Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya akan dibuat selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubar.

“Kita tunggu dulu PRN Johor jadi ke tidak, (selepas itu) akan (ada) perbincangan dengan Umno. Saya rasa ketika ini, semua orang mahu kita kurangkan politik dalam isu rakyat tengah susah (akibat banjir dan sebagainya).

“Bagaimanapun, ia terpulang kepada kerajaan Johor, kalau bubar, kita terpaksa hadapi PRN dan masing-masing sudah bersedia, PAS pun sedia,” katanya pada pemberita selepas merasmikan dan meraikan ulang tahun pertama penubuhan Malaysian Recycling Alliance hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada PAS akan menjalinkan kerjasama dengan Umno bagi menghadapi pilihan raya, andainya PRN Johor diadakan.

Tuan Ibrahim berkata pihaknya tidak mahu terlalu banyak pilihan raya yang dilaksanakan dalam waktu berbeza yang akhirnya akan menyebabkan rakyat hidup dalam situasi politik sepanjang waktu. – Bernama, 21 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen