Polis dapat perintah mahkamah sekat demo anti Azam Baki


Polis larang sebarang perhimpunan anti Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang dirancang diadakan di ibu negara bermula esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2022.

POLIS mendapat perintah mahkamah melarang perhimpunan diadakan di sekitar ibu negara bagi menghadapi protes yang dirancang berlangsung esok ke atas ketua agensi antirasuah Azam Baki.

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata, perintah dikeluarkan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur itu melarang perhimpunan diadakan di Dataran Merdeka, Sogo dan Masjid Jamek.

Larangan itu berkuatkuasa esok selama tujuh hari, katanya yang menambah perintah tersebut diperolehi pasukannya semalam.

“Polis menasihati orang ramai untuk tidak menyertai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

“Polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang dikesan masih berdegil menganjurkan atau menyertai sebarang perhimpunan,” katanya dalam sidang media petang ini.

Tambahnya, perhimpunan itu melanggar Peraturan 9 (Larangan Berarak) dan Peraturan 10 (Kawalan Berhimpun) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

Polis juga masih belum menerima sebarang pemberitahuan perhimpunan dari mana-mana individu mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, katanya.

Noor Dellhan berkata, kawalan pasukannya antara lain melibatkan lencongan di Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.

“Lencongan ini akan bermula pada jam 7 pagi, 22 Jan hingga selesai,” katanya.

Selain itu perkhidmatan kereta api MRT, LRT, Monorel dan KTM juga akan menghentikan sementara operasi di beberapa stesen utama di kawasan Dang Wangi. 

Penghentian operasi itu bermula jam 7 pagi itu merangkumi 25 stesen termasuk Masjid Jamek, Plaza Rakyat, Pasar Seni dan Bank Negara, katanya.

Aktivis dan pemimpin muda pembangkang sudahpun mengerahkan kehadiran anggota masing-masing ke demo berkenaan.

Antara kumpulan masyarakat sivil yang terlibat Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), Liga Rakyat Demokratik, Persatuan Pengundi Muda dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

Selain Pemuda Amanah, turut terlibat dalam perhimpunan yang dipromosi dengan topik #TangkapAzamBaki itu parti Muda, Pemuda Keadilan, Pemuda DAP dan Pemuda Harapan.

Bantahan ke atas Azam sudahpun digerakkan minggu lalu oleh Pemuda PKR di hadapan ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Perhimpunan serupa berlangsung di luar bangunan Parlimen semalam sewaktu Dewan Rakyat mengadakan sidang khas bagi membahaskan bencana banjir.

Ia berikutan pendedahan Azam memiliki berjuta-juta saham dalam dua syarikat pada 2015 dan 2016, semasa beliau menjadi ketua unit siasatan SPRM.

Azam Baki kemudian menjelaskan adiknya membeli saham menggunakan akaun beliau.

Lembaga penasihat antirasuah SPRM minggu lalu seterusnya mengumumkan badan itu menerima penjelasan Azam Baki dan mendapati beliau bebas daripada sebarang salah laku.

Ini mencetuskan kemarahan orang ramai dan menimbulkan gesaan agar agensi antirasuah itu diletakkan di bawah pengawasan Parlimen dan siasatan bebas terhadap kes itu dijalankan segera.

Demo esok pula digerakkan selepas Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengumumkan ia tidak dapat merumuskan Azam melanggar undang-undang dalam membenarkan akaun digunakan oleh adiknya.

Dalam satu lagi penjelasan, suruhanjaya itu kemudian mendapati urus niaga jual beli saham menggunakan akaun tersebut dibuat atas arahan Azam sendiri. – 21 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen