Perunding khuatir permohonan dalam talian MM2H jejas periuk nasi


Khoo Gek San

Program MM2H diaktifkan semula pada Oktober tahun lalu selepas dibekukan pada 2020 susulan pendemik Covid-19. – 21 Januari, 2022.

PERUNDING Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bimbang bakal hilang kerja berikutan semua permohonan baharu diproses secara dalam talian dan dikendalikan sepenuhnya Jabatan Imigresen.

Presiden Persatuan Perunding MM2H (MM2HCA) Anthony Liew berkata buat masa ini terdapat 150 perunding yang masih aktif, tetapi kebanyakan daripada mereka juga mempunyai pekerjaan lain.

Program MM2H diaktifkan semula pada Oktober tahun lalu selepas dibekukan pada 2020 susulan pendemik Covid-19. Ia beroperasi semula dengan beberapa penambahbaikan dan syarat baharu kepada peserta.

“Memandangkan program tersebut sudah beroperasi semula, ramai pemohon tidak lagi layak dan mereka kecewa dengan syarat baharu yang dikenakan. Mereka memilih negara lain,” kata Liew kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, program itu menerima 5,396 permohonan pada 2019 sebelum wabak Covid-19 menular di seluruh dunia. Namun, selepas kerajaan mengenakan syarat baharu tahun lalu, hanya 10% hingga 15% pemohon yang memohon semula menggunakan khidmat perunding MM2H, kata Liew.

Tambah beliau, syarat baharu antaranya pendapatan luar negara peserta MM2H sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini menyebabkan ramai membatalkan permohonan.

Peserta juga mesti mempunyai akaun simpanan tetap di Malaysia sekurangnya-kurangnya RM1 juta dan pengisytiharan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

Kementerian Dalam Negeri  dipetik Nanyang Siang Pau awal bulan ini berkata hanya 10 permohonan diluluskan sejak syarat-syarat baharu program MM2H dikuatkuasakan.

Bagi perunding MM2H pula, pemprosesan permohonan program itu secara dalam talian dan dikendalikan sepenuhnya Jabatan Imigresen akan menutup periuk nasi mereka.

Walaupun permohonan dalam talian bermula Disember lalu namun masih belum beroperasi sepenuhnya kerana masih terdapat segelintir pemohon mahu menggunakan khidmat perunding.

Jika sebelum ini permohonan diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac), kini ia di bawah kendalian Jabatan Imigresen

Liew berkata, sebaik sahaja permohonan beroperasi sepenuhnya dalam talian khidmat perunding tidak akan diperlukan lagi kerana pemohon akan berurusan sendiri dengan Jabatan Imigresen.

Selain itu, seorang lagi perunding yang ditemu bual The Malaysian Insight berkata sistem permohonan dalam talian juga akan membuka ruang kepada penipuan, kata seorang lagi perunding yang ditemu bual The Malaysian Insight. 

Beliau yang mahu namanya dirahsiakan berkata sukar untuk memastikan kesahihan dokumen bank yang dimuat naik pemohon.

“Sebelum ini, pemohon perlu menyertakan dokumen asal, bermakna tiada penipuan,” katanya, menambah selain dokumen bank, Sijil Kelakuan Baik juga dikemukakan dalam talian.

“Fail yang dimuat naik terhad kepada 300kb, jadi laman web tersebut tak begitu stabil.”

Mengulas perkara ini, Liew berharap proses permohonan dalam talian akan dilaksanakan dengan ketat.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat pada November tahun lalu berkata terdapat seramai 26,394 pemegang pas MM2H setakat 30 September 2020.

Syarat ketat yang diumum kerajaan mendapat kritikan banyak pihak kerana dibimbangi sukar menarik pemohon ketika berlakunya cabaran ekonomi global akibat Covid-19.

Sejak diperkenalkan pada 2002, program MM2H telah menjana RM40.6 bilion sehingga 2018.  – 21 Januari, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen