Kami profesional, macam mana marah sekali pun tetap solat berjemaah - Utusan Malaysia

Kami profesional, macam mana marah sekali pun tetap solat berjemaah

Dr. Zaitun Abu Bakar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Hubungan antara Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan isterinya, Dr. Zaitun Abu Bakar tetap baik walaupun Mahkamah Tinggi Syariah kelmarin memberi kebenaran kepadanya untuk berpoligami.

Zaitun berkata, beliau masih menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri begitu juga hubungan Khalid dengan anak-anak tetap baik walaupun mengetahui bapa mereka bakal berkahwin lagi.

“Kami tetap profesional, macam mana marah sekali pun tetap solat berjemaah, makan sama-sama, boleh berbual tentang keluarga dan anak-anak, walaupun kita marah dan pertikai (tindakannya), tetapi kami dua-dua terpelajar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, beliau reda dengan tindakan suaminya untuk berkahwin lain dan mahu meneruskan kehidupan seperti biasa di samping berterusan menerima sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan yang memberikan kekuatan.

“Saya pernah beranggapan begini, tak mahu buat dosa, kalau Khalid hendak berkahwin, biarlah itu haknya. Saya hendak jaga diri saya, perbaiki diri, amalan dan kesihatan serta belajar mengaji.

“Saya hendak berjalan-jalan hiburkan hati, jumpa kawan-kawan, bina bonding dengan anak-anak. Ramai juga kawan dalam parti Amanah sendiri memberi sokongan kepada saya sebaik sahaja melihat laporan daripada Utusan Malaysia,” ujarnya.

Terdahulu, peguam daripada Tetuan Farhana Izyan & Co, Nurfarhana Abd. Manaf yang mewakili Zaitun memberitahu, Hakim Abdul Halim Abdullah membenarkan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) itu berpoligami selepas beliau bersetuju memenuhi syarat dengan menunaikan hak-hak isterinya.

Antara syarat tersebut adalah menyerahkan sebuah penthouse di Seksyen 13 yang dibeli secara bersama, sebuah rumah di Seksyen 7, kereta Proton X70, nafkah bulanan serta syarat-syarat lain yang dinyatakan dalam affidavit kepada isteri sedia ada.

Sehubungan itu, Zaiton memaklumkan, beliau yakin Khalid yang menjadi suaminya sejak 45 tahun dahulu dapat menunaikan janji dan memenuhi syarat selepas bersetuju untuk melaksanakannya di hadapan hakim di Mahkamah Tinggi Syariah kelmarin.

“Memang hendak tunaikan, beliau memang orang yang berterus terang, kata-katanya boleh dipegang, tetapi kena tunaikan juga sebab sudah jadi perintah mahkamah, kalau tidak akan dikenakan tindakan, mungkin dipenjara dan sebagainya.

“Kena tunaikan walau macam mana sekali pun. Beliau pun ada harta-harta pusakanya yang diwasiat akan digunakan untuk melunaskan hutang rumah ini. Kita cuba fikirkan yang terburuk tetapi tetap tak boleh nafi ada perkara di luar jangkaan berlaku yang menyebabkannya tak boleh tunaikan janji,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zaiton memberitahu, beliau belum pernah bersemuka dengan wanita pilihan suaminya, sebaliknya hanya berhubung melalui aplikasi Whatsapp.

“Wanita itu berusia 40 tahun berasal dari Kelantan dan merupakan janda yang mempunyai seorang anak berusia 13 tahun, kali pertama jumpa pun ketika di mahkamah apabila hakim mengarahkannya hadir semalam,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya