PM mahu semua pihak akur keputusan SC dalam kes Azam - Utusan Malaysia

PM mahu semua pihak akur keputusan SC dalam kes Azam

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta semua berlapang dada menerima keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) berhubung kes Tan Sri Azam Baki.

Malah beliau meminta pembangkang turut akur dan bukannya terus mempolitikkan isu saham adik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

“SC sudah pun buat keputusan dan sebagaimana kerajaan pernah kata sebelum ini, kita akan serahkan isu itu kepada penilaian pihak SC yang lebih arif dalam hal tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Eksklusif Bersama Perdana Menteri dan melancarkan Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di sini malam ini.

Isu berkenaan tercetus apabila Azam dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPRM mengakui adiknya sendiri menggunakan akaun nama beliau untuk pelaburan saham di Bursa Malaysia. Susulan itu, SC pada 6 Januari lalu meminta Azam memberi penjelasan berhubung perkara tersebut kerana semua akaun sekuriti perlu dibuka atas nama pemilik manfaat itu sendiri.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 yang menetapkan urus niaga di bursa hanya dibuat oleh pemilik manfaat atau penama dibenarkan. Bagaimanapun, SC pada Isnin lalu mengesahkan tiada kesalahan dilakukan Azam namun keputusan itu menjadi tanda tanya seolah-olah ada tekanan pihak tertentu bagi menutup kes.

Ismail Sabri meminta semua pihak menerima keputusan terkini ditetapkan SC sebagai badan profesional negara yang lebih mahir selok belok berhubung isu Azam.

“Jangan pula kita (rakyat) minta dia (Azam) disiasat tetapi setelah keputusan dibuat, kita masih lagi tidak puas hati kerana masyarakat tidak boleh hanya mahu ikut kehendak sendiri. Bahkan kalau pihak pembangkang rasa SC mesti ikut kehendak pembangkang, itu tidak bolehlah, dia kena berjiwa besar untuk terima apa sahaja keputusan SC,” tambahnya yang mahu sebarang pertanyaan lanjut mengenai keputusan SC itu perlu dirujuk terus kepada agensi berkenaan sendiri yang tentunya terbuka menerima persoalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya