Siasat aktiviti tapak pengumpulan kitar semula, besi buruk ganggu penduduk - Utusan Malaysia

Siasat aktiviti tapak pengumpulan kitar semula, besi buruk ganggu penduduk

AKTIVITI pemprosesan dari tapak pengumpulan kitar semula dan besi buruk di kawasan Lima Kongsi, Sungai Bakap, Pulau Pinang didakwa mengganggu penduduk setempat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Pihak berkuasa berkaitan digesa mengambil tindakan terhadap masalah yang timbul ekoran aktiviti pemprosesan dari tapak pengumpulan kitar semula dan besi buruk di kawasan Lima Kongsi, Sungai Bakap dekat sini.

Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), R. Meenakshi berkata, aktiviti itu didakwa mengganggu penduduk kampung dan taman perumahan yang tinggal antara 50 hingga 100 meter dari premis berkenaan malah yang paling hampir hanya di belakang rumah penduduk.

Jelas beliau, SAM mendapat aduan daripada penduduk yang terganggu dengan bunyi bising hentakan dari tapak berkenaan yang dilakukan untuk mendapatkan besi dari bahan batuan konkrit.

Katanya, aktiviti itu adakalanya berlarutan sehingga pukul 8 malam setiap hari sekali gus mengganggu ketenteraman penduduk khususnya pelajar yang perlu mengikuti kelas online.

“Selain bunyi bising, mereka turut berdepan masalah debu dan habuk dari kenderaan  yang kerap melalui jalan utama serta kenderaan berat seperti lori yang sering keluar masuk ke premis terbabit.

“Situasi itu bukan sahaja menyebabkan pencemaran udara, malah mengancam keselamatan penduduk apabila terdapat banyak kenderaan termasuk kenderaan berat melalui jalan utama secara kerap,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Meenakshi, masalah habuk dan debu yang berterbangan itu semakin serius ketika musim panas kini dan menyebabkan kebanyakan kediaman mereka diselaputi debu pasir.

Jelas beliau, pihaknya dimaklumkan aktiviti itu dijalankan di atas tanah persendirian, namun berpendapat operasinya tidak sesuai memandangkan sangat dekat dengan kawasan penduduk.

Malah ujarnya, SAM juga telah mengetengahkan perkara itu kepada pengetahuan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), namun sehingga kini tidak menerima maklum balas.

“Sehubungan itu, kita menggesa pihak berkuasa negeri supaya komited dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan yang telus.

“Jika siasatan yang dilakukan oleh pihak-pihak berkuasa mendapati pihak premis menyalahgunakan syarat, lesen dan permit maka tindakan yang sewajarnya yang bertepatan perlu diambil,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya