Ahli jawatankuasa pilihan gesa mesyuarat diteruskan tanpa kehadiran Azam


Raevathi Supramaniam

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki terpalit dengan skandal pemilikan saham. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2022.

JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri perlu meneruskan mesyuaratnya pada Rabu, walaupun tanpa kehadiran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, kata empat ahli Parlimen pembangkang hari ini.

Mereka berkata, Azam yang kini terpalit dengan skandal pemilikan saham juga tidak mempunyai kuasa yang melangkaui Parlimen.

“Walaupun Azam tidak muncul, mesyuarat itu perlu diteruskan.

“Mengapa kita menangguhkan mesyuarat itu hanya kerana tiga alasannya? Kita harus mendesak beliau hadir. Jika enggan, maka kita ambil tindakan,” kata Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dalam sidang media yang diadakan melalui Zoom.

Khoo berkata mereka tidak sepatutnya membatalkan pertemuan itu semata-mata kerana Azam membangkitkan beberapa alasan.

Azam dimaklumkan untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa pilihan pada 10 Januari. 

Semalam, pengerusi jawatankuasa pilihan Abdul Latiff Abdul Rahman, yang merupakan ahli Parlimen Kuala Krai, memutuskan untuk menangguhkan mesyuarat yang akan diadakan esok susulan surat daripada Azam.

Dalam suratnya kepada Latiff, Azam berkata pendengaran itu melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ketua SPRM itu juga berkata beliau sudah memfailkan saman sivil berhubung dakwaan yang dibuat terhadapnya dan terdapat agensi lain sedang menyiasatnya.

Bagaimanapun, Khoo berkata mereka masih boleh meneruskan mesyuarat tanpa beliau bagi membincangkan perkara yang perlu dilakukan oleh jawatankuasa itu.

“Tidak membatalkan mesyuarat kerana kami bimbang tentang tiga sebabnya.”

Khoo berkata, terdapat perkara penting lain yang boleh dibincangkan oleh jawatankuasa sekiranya Azam tidak hadir.

“Kami sudah memanggil Azam, kami juga ingin berbincang mengenai siapa lagi yang kami ingin panggil termasuk adiknya.

“Kami juga mahu memanggil agensi lain, pihak atasannya ketika itu. Kami mahu mendengar penjelasan mereka.

“Pada 2015, adakah Azam mengisytiharkan sahamnya, beliau isytihar kepada siapa? Dan apa yang dilakukan oleh pihak atasan? Semua ini kita ingin tahu.

“Suruhanjaya Sekuriti berkata ia mahu menyiasat, kami juga mahu memanggil mereka.

“Kami mahu memastikan proses siasatan tidak terjejas dengan perkembangan terkini ini,” kata Khoo.

Khoo, bersama Azis Jamman (Sepanggar-Warisan), dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan Chan Foong Hin (Kota Kinabalu) dan William Leong (Selayang) tidak bersetuju dengan keputusan Latiff untuk menangguhkan mesyuarat itu sehingga tarikh ditetapkan kemudian. – 18 Januari, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen