Nik Abduh minta PAS dedah punca gugur Khairuddin


Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini berkata masyarakat berhak tahu sebab sebenar Mohd Khairuddin Aman Razali digugurkan daripada Jawatankuasa PAS Pusat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2022.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz meminta PAS menjelaskan alasan sebenar pengguguran Mohd Khairuddin Aman Razali daripada Jawatankuasa PAS Pusat bukan sahaja kepada ahli parti tetapi kepada masyarakat.

Katanya, masyarakat pun berhak tahu sebab sebenar tindakan itu selepas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata pengguguran itu tiada kaitan dengan isu kerjasama politik PAS melibatkan Umno dan Bersatu.

PAS membentuk kerjasama dengan Umno atas nama Muafakat Nasional (MN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tetapi kemudian bersama Bersatu menubuhkan Perikatan Nasional (PN) selepas peralihan kuasa melalui percaturan politik Langkah Sheraton pada Februari 2020.

“Apabila Datuk Seri Setiausaha Agung PAS dengan lantang menolak alasan pengguguran beliau daripada Jawatankuasa PAS Pusat atas faktor perselisihan antara MN dan PN, maka nyatalah ia adalah disebabkan hal lain. Ia masalah disiplin dalam parti,” katanya dalam satu komentar di Facebook.

Kelmarin, Takiyuddin yang ditanya pemberita punca pengguguran Khairuddin berkata ia tiada kaitan dengan isu melibatkan hubungan PAS dengan Umno atau Bersatu.

Takiyuddin sebaliknya mencabar Khairuddin dan mana-mana pemimpin PAS untuk menyatakan bahawa isu hubungan politik PAS dengan Umno dan Bersatu punca pemecatan itu.

Nik Mohamad Abduh yang membuat kenyataan sebagai “sahabat rapat” Khairuddin berkata pengguguran bekas menteri itu mesti bersebab.

Katanya, jika pengguguran itu kerana masalah disiplin dalaman, ia harus dijelaskan kepada umum kerana keputusan itu juga sudah dihebahkan kepada umum.

Beliau mengingatkan Khairuddin adalah antara sosok utama pemimpin PAS yang pernah jadi menteri serta setiausaha Majlis Syura Ulama parti.

“Maka menjadi hak publik, bukan hanya ahli PAS untuk mengetahui sebab pengguguran tersebut,” katanya.

Jelas Nik Mohamad Abduh, pengguguran akibat isu disiplin adalah “satu pencalaran kepada akhlak berjamaah” yang menjejaskan bukan saja Khairuddin sendiri tetapi penyokongnya dan Majlis Syura Ulama PAS.

Khairuddin digugurkan daripada Jawatankuasa PAS Pusat tidak sampai dua bulan selepas dilantik menganggotai badan pengurusan parti itu.

Beliau dilantik pada hujung November 2021 selepas kalah pemilihan parti hampir tiga minggu sebelumnya.

Selain Khairuddin, Nik Mohamad Abduh yang juga kalah pemilihan parti turut dilantik sebagai AJK PAS Pusat.

Mereka dilantik bersama Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang kalah pemilihan jawatan naib presiden. – 18 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen