Protes jalanan jika tiada tindakan terhadap Azam Baki, kata kumpulan


Elill Easwaran

Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki yang disokong 16 kumpulan dan lapan parti politik menggesa rakyat turun ke Sogo, Kuala Lumpur Sabtu ini bagi menunjukkan ketegasan supaya ketua agensi antirasuah Azam Baki segera dikenakan tindakan. – Gambar Twitter, 18 Januari, 2022.

WAKIL 17 kumpulan masyarakat sivil dan lapan parti politik akan mengetuai protes jalanan hujung minggu ini jika tiada tindakan diambil terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki berhubung pembelian sahamnya.

Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki dalam satu kenyataan pagi ini menggesa rakyat Malaysia berkumpul di hadapan gedung membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur pada pukul 11 pagi Sabtu ini.

Kumpulan itu membuat tiga tuntutan iaitu:

i. Azam Baki ditangkap dengan serta-merta
ii. Segerakan proses undang-undang terhadap Azam Baki
iii. Rombak dan letak SPRM di bawah Parlimen. 

Kenyataan itu turut menyebut setiap pemimpin dan anggota yang berjawatan tinggi harus berhenti bertindak atas kepentingan sendiri termasuk menipu dan menyeleweng untuk terus berkuasa.

“Penyakit rasuah memberi kesan pedih kepada rakyat pada waktu kos sara hidup serta harga barang giat meningkat. 

“Tambahan pula, rakyat di 8 negeri yang terkesan banjir sedang terhimpit dengan cabaran memulakan semula kehidupan mereka tapa bantuan kerajaan yang mencukupi,” katanya.

Antara kumpulan masyarakat sivil yang terlibat ialah Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), Liga Rakyat Demokratik, Persatuan Pengundi Muda dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

Manakala parti politik yang terlibat ialah Muda, Pemuda Keadilan, Pemuda DAP, Pemuda Amanah, Pemuda Harapan dan beberapa lagi.

Minggu lepas Pemuda PKR mengadakan bantahan terhadap Azam Baki di hadapan ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Ia berikutan pendedahan Azam Baki memiliki berjuta-juta saham dalam dua syarikat pada 2015 dan 2016, semasa beliau menjadi ketua unit siasatan SPRM.

Kebimbangan muncul sama ada beliau telah mengisytiharkan saham itu seperti yang dikehendaki oleh penjawat awam selain sumber dana untuk membeli saham tersebut.

Azam Baki sebelum itu menjelaskan adiknya telah membeli saham menggunakan akaun dagangan ketua SPRM, yang bermaksud mereka mungkin melanggar peraturan Suruhanjaya Sekuriti.

Lembaga penasihat antirasuah SPRM minggu lepas berkata ia menerima penjelasan Azam Baki dan mendapati beliau bebas daripada sebarang salah laku.

Ini mencetuskan lebih banyak kemarahan orang ramai, menimbulkan gesaan agar agensi antirasuah itu diletakkan di bawah pengawasan Parlimen dan siasatan bebas terhadap kes itu dijalankan segera.

Suruhanjaya Sekuriti berkata ia akan menyiasat Azam Baki. – 18 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen