4 ahli jawatankuasa pilihan Parlimen bantah tangguh mesyuarat Azam Baki


Azam Baki berkata sebarang tindakan Parlimen terhadapnya harus dilakukan melalui usul Parlimen dan bukan melalui jawatankuasa pilihan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Januari, 2022.

EMPAT ahli Parlimen pembangkang mengemukakan bantahan terhadap penangguhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai Agensi di bawah mesyuarat Jabatan Perdana Menteri yang dijadualkan diadakan pada Rabu.

Mereka merupakan ahli jawatankuasa 9 individu yang akan membincangkan kontroversi pemilikan saham pegawai antirasuah Azam Baki pada mesyuarat itu, berkata tidak bersetuju dengan keputusan unilateral Pengerusi PSSC Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai-PN) untuk menangguhkannya ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Awal hari ini, Setiausaha Parlimen Dr Nizam Mydin Bacha Mydin berkata mesyuarat 19 Januari untuk mendapatkan penjelasan daripada Azam, pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai pemilikan sejumlah besar saham dalam pelbagai syarikat senaraian awam pada 2015 dan 2916, ditangguhkan. 

Nizam menambah yang penasihat undang-undang Parlimen akan menilai kesahan mesyuarat PSSC.

Pengumuman mengenai penangguhan itu susulan bantahan Azam untuk menjadi subjek mesyuarat, yang disampaikannya kepada Abdul Latiff.

“Kami tidak bersetuju dengan alasan Azam Baki supaya mesyuarat itu dihentikan dan menegaskan beliau perlu hadir di depan PSSC.

“Bidang kuasa PSSC adalah untuk menentukan sama ada perlu ada mekanisme lebih berkesan untuk menjalankan siasatan dan tindakan tatatertib terhadap apa yang berlaku. Mandat PSSC adalah untuk mengenal pasti sama ada kuasa sedia ada mencukupi.

“Selain itu, adalah menjadi kuasa Parlimen untuk memanggil mana-mana saksi untuk memberi keterangan mengikut Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan Azam menghina Parlimen dengan enggan mempedulikan arahan Parlimen,” kata ahli Parlimen itu.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Azis Jamman (Sepanggar-Warisan), dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) dan William Leong (Selayang).

Terdahulu, Ketua PSSC Latiff berkata Azam membantah mesyuarat itu atas alasan ia akan subjudis selepas beliau memfailkan saman fitnah terhadap seorang wartawan kerana membongkar pegangan sahamnya dalam sebuah syarikat senaraian awam.

Memandangkan beliau juga sedang disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti dan lembaga tatatertib SPRM, Azam berkata sebarang tindakan Parlimen terhadapnya harus dilakukan melalui usul Parlimen dan bukan melalui jawatankuasa pilihan. – 17 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen