Poliklinik tawar sijil vaksinasi MySejahtera diserbu - Utusan Malaysia

Poliklinik tawar sijil vaksinasi MySejahtera diserbu

ARJUNAIDI MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebuah poliklinik di Gombak diserbu polis selepas menawarkan pemberian sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera, baru-baru ini.

Poliklinik terbabit dilaporkan mampu berbuat demikian apabila mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada orang ramai dan disyaki melakukan kegiatan itu, sejak tiga bulan lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, sindiket berkenaan diketahui selepas satu pesanan ringkas yang tular melalui aplikasi WhatsApp yang menawarkan khidmat mendapatkan pendaftaran vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera.

“Setiap mereka yang ke klinik berkenaan, pada peringkat awal dikenakan bayaran sebanyak RM3,000, tetapi kemudian berdasarkan kenyataan diberikan oleh mereka berkenaan, harganya diturunkan sehingga RM500.

“Mereka menyasarkan golongan antivaksin atau tidak mahu vaksin. Mereka yang tidak mahu vaksin tidak disuntik tetapi dikeluarkan sijil dan vaksin dibuang begitu sahaja, botolnya pula dipulangkan kepada KKM sebagai tanda sudah disuntik,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor (IPK), di sini hari ini.

Beliau menambah, susulan serbuan polis menahan tujuh suspek berusia 20 hingga 35 tahun terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita termasuk seorang pengamal perubatan.

Jelas Arjunaidi, siasatan awal mendapati klinik terbabit sudah memberi suntikan vaksin Covid-19 dan mengeluarkan sijil vaksinasi kepada lebih 5,000 orang, namun polis masih mengenal pasti jumlah penerima sijil secara tidak sah.

“Polis merampas peralatan komputer yang dipercayai boleh digunakan untuk mengisi data pesakit ke dalam sistem MySejahtera.

“Hasil penelitian di dalam komputer riba yang dirampas, terdapat 5,601 pesakit didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti jumlah yang didaftarkan tanpa menerima suntikan,” katanya.

Katanya lagi, kesemua ditahan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen  22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Terdahulu,  polis Terengganu membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (janji temu) vaksinasi.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang membawa kepada penahanan suspek baru-baru ini.

Suspek dipercayai melakukan kegiatan itu sejak September tahun lalu selepas klinik berkenaan mendapat kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar.

Dalam tempoh berkenaan, lebih 1,900 sijil vaksinasi Covid-19 diedarkan dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600.

Malah, isu vaksin turut mendapat reaksi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang menyelar tindakan seorang mutawif yang didakwa membawa jemaah tidak divaksin menunaikan umrah. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya