Prosiding berkaitan pemilikan saham Azam Baki dibuat secara tertutup, kata speaker


Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata ini akan memelihara integriti prosiding sedemikian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2022.

PROSIDING Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan datang mengenai agensi kerajaan bagi membincangkan pemilikan saham Azam Baki akan dibuat secara tertutup, kata Azhar Azizan Harun.

Speaker Dewan Rakyat berkata pendengaran Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu tidak jauh berbeza dengan prosiding jawatankuasa pemilihan lain.

“Peraturan mesyuarat tidak membenarkan prosiding terbuka.

“Malah, peraturan mesyuarat juga tidak membenarkan perbincangan atau pendedahan saksi, kenyataan saksi dan kandungan prosiding sehingga laporan dibentangkan kepada Dewan Rakyat,” katanya dipetik portal berita The Star Online hari ini.

Beliau berkata ini akan memelihara integriti prosiding sedemikian.

Beliau mengulas kenyataan Edmund Terence Gomez, yang meletak jawatan daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM bulan lepas, menggesa mesyuarat itu pada Rabu dibuat secara terbuka dan media.

“Walaupun bagus untuk mempunyai PSC, saya juga ingin berhujah bahawa PSC mesti terbuka kepada media dan orang ramai. Adalah penting media juga mengetahui perbincangan dalam PSC,” katanya dipetik sebagai berkata dalam laporan berita.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan menyoal Azam mengenai pemilikan saham kontroversinya.

Azam belum menyatakan sama ada beliau akan hadir.

Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha telah menghantar notis itu kepada ahli PSSC minggu lepas, yang kemudiannya dikongsi oleh Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin di Facebooknya.

Semua ahli PSSC, termasuk pengerusinya, Ahli Parlimen PAS Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman, dijemput menghadiri mesyuarat itu pada 19 Januari jam 2 petang.

Selain Latiff dan Chan, ahli yang menganggotai PSSC adalah Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak-Barisan Nasional), Mohd Nizar Zakaria (Parit-BN), Anyi Ngau (Baram-Gabungan Parti Sarawak), Shaharizukirnain Abd Kadir (Setiu-PAS), Khoo Poay Tiong (Kota Melaka-PH), Mohd Azis Jamman (Sepanggar-Warisan) dan William Leong (Selayang-PH).

Mesyuarat itu akan diadakan pada jam 2 petang di Parlimen. – 16 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen