Batu Caves mula ramai sempena Thaipusam


Wanita membawa 'paal koodam' atau belanga susu untuk dituangkan ke atas patung Dewa Murugan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Januari, 2022.

KUIL Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di Selangor yang menjadi lokasi tumpuan utama setiap kali Thaipusam, mula dipenuhi penganut Hindu yang hadir menunaikan nazar dan sembahyang hari ini menjelang perayaan itu pada Selasa.

Kebanyakan mereka dilihat membawa ‘paal koodam’ atau belanga susu untuk dituangkan ke atas patung Dewa Murugan di puncak kuil berkenaan, sebagai antara upacara keagamaan.

Malah, tinjauan seawal jam 8 pagi mendapati pengunjung berbilang bangsa juga tidak melepaskan peluang melihat sendiri suasana sambutan dengan masing-masing dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Tidak seperti sebelum ini, hanya beberapa gerai menjual bunga untuk upacara sembahyang dan gerai makanan dibuka di perkarangan kuil.

Pegawai informasi pejabat Batu Caves K Tamilvaani, berkata pihaknya menerima pengunjung seawal jam 12 tengah malam tadi bagi melaksanakan upacara sembahyang.

Wanita berusia 31 tahun itu berkata, seperti ditetapkan kerajaan, pihaknya menyediakan kod QR MySejahtera, pengimbas suhu badan serta tag bagi pengunjung yang membawa ‘paal koodam’.

Katanya, bagi menjaga kesesakan dan penjarakan sosial, hanya 500 orang dibenarkan memasuki ke kawasan kuil pada satu-satu masa.

“Pihak kami juga akan sentiasa membuat pengumuman dari semasa ke semasa, untuk orang ramai agar sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga jarak, serta kerja sanitasi dilakukan bagi setiap sesi sembahyang yang diadakan,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed pada satu sidang media, hari ini sebelum meninjau sambutan itu berkata, situasi semasa di sekitar kawasan kuil masih dalam keadaan terkawal dan berjalan lancar.

“Secara keseluruhan seramai 1,500 kekuatan anggota polis terbabit dan kami juga dibantu agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Daerah Selayang dan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Pada masa sama, kebanyakan pengunjung yang hadir meluahkan rasa gembira dapat menunaikan upacara sembahyang dalam keadaan selesa dan teratur.

Salah seorang pengunjung N Lokizhwaran, 25, berkata beliau lebih selesa walaupun dalam keadaan SOP ketat.

“Kalau dahulu, saya mengambil masa empat jam untuk sampai ke kuil di puncak kerana kepadatan pengunjung, manakala hari ini saya selesai upacara ibadat dalam masa 30 minit sahaja,” katanya.

Turut berkongsi perasaan sama, D Dashieny, 26, yang menyatakan kemeriahan itu dirasai kerana masih ada laungan ‘Vel Vel’, walaupun tiada iringan musik dan sebagainya.

“Bagi saya suasana kali ini lebih tenang dan lebih bersifat ketuhanan,” katanya. – Bernama, 16 Januari, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen