Umno Johor tolak spekulasi bubar DUN hari ini


Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor Samsolbari Jamali berkata Umno Johor juga tidak membuat sebarang perbincangan mengenai hal itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Januari, 2022.

UMNO Johor hari ini menolak ‘spekulasi’ berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, yang dikatakan berlaku hari ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Johor Samsolbari Jamali berkata Umno Johor juga tidak membuat sebarang perbincangan mengenai hal itu.

“Tiada, kita belum ada lagi perbincangan, ia hanya satu spekulasi, sesiapapun boleh buat spekulasi, tetapi pada masa sama, seperti biasa Umno dan Barisan Nasional (BN) bekerja terus.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sehingga sekarang, kami kekalkan berkhidmat untuk rakyat dan sehingga sekarang kami tumpukan kepada kerja-kerja Covid-19 dan banjir,” katanya kepada pemberita selepas hadir Program Seminar Pemantapan Jentera PRU15 Parlimen Kulai di Senai, hari ini.

Turut hadir pada program secara tertutup itu ialah Menteri Besar Johor Hasni Mohammad, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Johor.

Kerajaan negeri Johor yang kini dipimpin BN, mempunyai kelebihan hanya satu kerusi di DUN susulan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kempas Osman Sapian, meninggal dunia 21 Dis tahun lepas.

Barisan Nasional kini mempunyai 16 kerusi, Bersatu (11), PAS (satu) dengan 28 kerusi manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi dari keseluruhan 56 kerusi DUN. – Bernama, 15 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen