Azam boleh dipenjara jika enggan hadir PSC - Kit Siang - Utusan Malaysia

Azam boleh dipenjara jika enggan hadir PSC – Kit Siang

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Veteran DAP, Lim Kit Siang menyatakan, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki boleh dipenjara jika enggan hadir memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) Bagi Agensi- Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, tindakan itu boleh diambil sekiranya beliau mengingkari sepina Parlimen untuk hadir memberi penjelasan kepada jawatan kuasa itu. 

“Azam boleh dipenjarakan kerana menghina Parlimen jika beliau mengingkari sepina Parlimen untuk hadir di hadapan PSC bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 19 Januari ini untuk membersihkan dirinya daripada dakwaan konflik kepentingan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan, Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi pekeliling bertarikh 11 Januari lalu kepada sembilan ahli Parlimen menganggotai PSC bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri berkata, satu mesyuarat diadakan pada 19 Januari ini berhubung isu pemilikan saham syarikat membabitkan Azam.

Bagaimanapun, dalam satu sidang media 5 Januari lalu, Azam percaya beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, justeru tidak perlu memberikan reaksi terhadap tuduhan yang dikaitkan dengannya.

Azam juga menyifatkan beliau hanya bertanggungjawab kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), SPRM.

“Saya tak tampil untuk memberi penjelasan kepada pihak awam kerana saya tidak membuat sebarang kesalahan,” katanya.

LIM KIT SIANG

Menurut Kit Siang, Azam perlu memiliki tanggungjawab yang lebih tinggi kepada Parlimen dan rakyat untuk bersikap jujur dan amanah sebagai orang nombor satu SPRM. 

“Azam memperbodoh diri sendiri apabila beliau kata beliau hanya bertanggungjawab kepada LPPR sedangkan beliau memiliki tanggungjawab yang lebih tinggi kepada Parlimen dan rakyat Malaysia untuk bersikap jujur ​​dan amanah ​​sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya. 

Tambah ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, Akta Kuasa dan Kestimewaan Parlimen 1952 adalah sangat jelas menyatakan Parlimen boleh menghukum seseorang yang mengingkari PSC. 

“Azam tidak seharusnya menguji kuasa Parlimen untuk menghukumnya kerana menghina Parlimen jika dia mengingkari sepina PSC bagi Agensi-Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk hadir pada Rabu depan bagi membersihkan dirinya daripada dakwaan konflik kepentingan.

“Saya telah mengatakan bahawa seluruh kontroversi Azam akan dapat diselesaikan jika Azam bersedia untuk secara sukarela hadir di hadapan PSC bagi membersihkan dirinya daripada dakwaan konflik kepentingan. Mengapa Azam tidak bersedia untuk berbuat demikian?,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya