Segerakan pelaksanaan gaji minimum pekerja RM1,500 - Utusan Malaysia

Segerakan pelaksanaan gaji minimum pekerja RM1,500

Pelaksanaan gaji minimum dalam sektor swasta dapat membantu mengurangkan beban kewangan golongan pekerja di negara ini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyegerakan kenaikan gaji minimum berjumlah RM1,500 seperti dituntut golongan pekerja memandangkan sudah terlewat untuk merealisasikannya ketika negara sudah memasuki fasa tahun baharu 2022.

Walaupun terdapat majikan-majikan yang belum bersedia menaikkan gaji minimum untuk pekerja impak pandemik Co­vid-19, kerajaan sudah banyak membantu bagi memastikan mereka kembali ke landasan pemulihan ekonomi seperti sedia kala.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Ke­satuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata, sudah tiba masanya pemain industri memikirkan bagaimana cara untuk kekal berdaya saing dalam berdepan cabaran ekonomi tanpa mengabaikan tanggungjawab kepada pekerja dan negara.

Katanya, kenaikan gaji minimum tidak seharusnya menyukarkan pihak industri kerana pembayaran gaji boleh menggunakan beberapa kaedah sama ada secara bulanan, mingguan atau mengikut jam bekerja.

ABDUL HALIM MANSOR

“Apapun alasan pihak industri, isu ini tidak boleh diabaikan kerana sudah termaktub dalam undang-undang ia akan disemak setiap dua tahun. Jadi, gaji memang sentiasa naik mengikut kadar indeks pengguna, aspek ekonomi, inflasi dan banyak lagi kajian dibuat oleh universiti dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kalau pun pihak majikan sukar memenuhi tuntutan ini, saya cadangkan majikan menyediakan tempat tinggal bagi pekerja mereka supaya kawalan kesihatan dan tenaga kerja mudah diurus kerana tidak perlu memikirkan kos sewa rumah terutama di kawasan bandar,” katanya ketika dihubungi semalam.

MTUC sebelum ini lantang menuntut kerajaan supaya menaikkan gaji minimum antara RM1,100 hingga RM1,200 kepada RM1,500 untuk menyesuaikan keadaan ekonomi negara yang dibelenggu peningkatan kos sara hidup.

Kelmarin, akhbar tempatan memetik kenyataan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman bahawa kebanyakan industri negara ini tidak bersedia menaikkan gaji minimum kerana masih terkesan susulan penularan Covid-19 yang melanda negara dua tahun lalu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan pula berkata, kadar gaji minimum sedia ada perlu dikekalkan bagi membolehkan majikan-majikan berada dalam landasan pemulihan impak wabak berkenaan.

Katanya, majikan tidak sepatutnya dibebani sebarang semakan semula kadar gaji minimum, sebaliknya, majikan harus dibenarkan menstabilkan perniagaan mereka dan mewujudkan peluang pekerjaan membantu pekerja meningkatkan pendapatan.

“Sebarang kenaikan dalam kadar gaji minimum boleh menyebabkan majikan kurang mampan sekali gus membawa kepada lebih banyak pembuangan pekerja dan pasaran buruh tidak stabil.

“Majikan telah bergantung kepada RM18 bilion diberikan kerajaan melalui pelbagai program subsidi gaji untuk mengekalkan pekerja, namun, keadaan semasa jelas belum sesuai menaikkan kadar gaji minimum,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya