Kit Siang gesa Azam Baki jawab di hadapan j/k Parlimen 


Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki hadir di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menjawab dan sekali gus membersihkan dirinya daripada dakwaan salah laku pemilikan saham syarikat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Januari, 2022.

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki perlu hadir secara sukarela di hadapan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) pada 19 Januari ini bagi menjawab dakwaan konflik kepentingannya, kata Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata dengan demikian Azam Baki dapat membersihkan dirinya daripada sebarang keraguan awam selain dapat tolong selesaikan isu tersebut secepat mungkin.

“Bagi memastikan keresahan negara mengenai Azam-gate dapat diselesaikan secepat mungkin, saya mencadangkan agar Azam Baki secara sukarela hadir ke PSC pada 19 Januari ini,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Awal hari ini, Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha mengirim pekeliling memaklumkan PSC bagi Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan bermesyuarat Rabu depan untuk bincang pemilikan saham kontroversi Azam Baki.

Veteran DAP itu juga berkata PSC perlu membentangkan laporan minit mesyuarat itu selain menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengadakan sidang khas Parlimen bagi menangani perkara tersebut.

“PSC perlu cuba untuk bentangkan laporan mengenai Azam-gate kepada Sidang Khas Parlimen bencana banjir pada hari berikutnya iaitu pada 20 Januari.

“Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga perlu bersedia memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu Azam BAki pada 21 Januari ini,” katanya.

Azam Baki didakwa memiliki saham syarikat, yang telah menyebabkan pengkritik menggesa siasatan dibuat terhadap ketua SPRM itu.

Beliau didakwa memiliki 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 30 April 2015, dan 1.02 juta saham dalam syarikat yang sama pada 31 Mac 2016. Adik lelakinya didakwa memiliki 3.72 juta saham dalam syarikat yang sama.

Azam Baki juga didakwa memiliki 2.15 juta saham dalam senarai awam Excel Force MSC Bhd. – 12 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen