Pokok strawberi Selising laris - Utusan Malaysia

Pokok strawberi Selising laris

MOHAMMAD Arif Aizat Shukri menunjukkan pokok strawberi yang diusahakan di rumahnya di Selising, Pasir Puteh. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Seorang pemuda, Mohammad Arif Aizat Shukri tidak perlu ke tanah tinggi untuk menikmati buah strawberi sebaliknya memetiknya di belakang rumah di Selising, di sini yang berbuah sepanjang tahun.

Berkongsi pengalaman menanam pokok strawberi di tanah rendah, Mohammad Arif Aizat, 20, memberitahu Utusan Malaysia, dia cuba-cuba menanam pokok induk yang diperoleh dari Terengganu pada November 2019.

Tanpa disangka, percubaan itu menjadi dan dalam tempoh dua tahun ini, persekitaran rumahnya berubah wajah apabila dipenuhi pokok strawberi yang turut dijual secara anak benih, sekali gus menjadi punca rezeki kepadanya.

ANTARA pokok strawberi ditanam Mohamad Arif Aizat Shukri yang sudah mengeluarkan buah. – UTUSAN/TOREK SULONG

Kata Mohammad Arif Aizat, walaupun ditanam di kawasan tanah rendah, kualiti buah itu tetap sama sebagaimana strawberi yang ditanam di kawasan beriklim sejuk seperti Cameron Highlands.

“Malah dalam keadaan cuaca panas, buah yang dihasilkan lebih manis berbanding strawberi di pasaran terutama pokok yang ditanam secara batas. Ini kerana ia terdedah secara terus kepada cahaya matahari.

“Sekarang terdapat tiga varieti strawberi yang saya usahakan iaitu Japanese sweet charlie, Albion dan Angel Eight dengan anggaran lebih 300 pokok yang sudah matang dan boleh dijadikan induk untuk pembenihan semula,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohammad Arif Aizat berkata, ketika ini, dia lebih fokus mengusahakan anak benih dan pokok matang yang mendapat permintaan tinggi selepas terbukti pokoknya mampu tumbuh subur di tanah rendah selain kalis cuaca panas.

Katanya, sebanyak 1,000 anak benih dan pokok matang sedia untuk dipasarkan, sama ada menerusi dalam talian atau secara walk in di nurseri yang terletak dalam kawasan rumahnya dengan harga antara RM10 hingga RM30 sepokok.

“Saya masih memerlukan bimbingan kepakaran Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan untuk menggapai impian sebagai usahawan pokok strawberi yang pertama di negeri ini.

“Dalam usaha mempromosikan usaha saya ini, satu laman Strawberryfarm Selising diwujudkan di media sosial. Kini laman itu sudah mengumpul 1,200 peminat untuk berinteraksi dalam hal-hal berkaitan penanaman strawberi,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya