Dera: Peniaga ditahan bantu siasatan kes tular dalam media sosial  - Utusan Malaysia

Dera: Peniaga ditahan bantu siasatan kes tular dalam media sosial 

TANGKAP layar pendedahan di dalam media sosial mengenai dakwaan kejadian dera melibatkan seorang wanita dan sembilan anaknya yang tular baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang peniaga berusia 41 tahun di sini ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kejadian dera membabitkan isteri dan sembilan anaknya dalam kejadian di daerah Timur Laut yang tular dalam media sosial, baru-baru ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, suspek adalah suami kepada wanita mangsa dera berkenaan dan ditahan semalam selepas  polis menerima laporan kes tersebut. 

“Isteri suspek berusia 31 tahun membuat laporan polis mendakwa dia bersama sembilan anak-anak mereka berusia setahun hingga 13 tahun menjadi mangsa dera lelaki tersebut. 

“Susulan laporan ini, polis bertindak menahan lelaki tersebut semalam bagi membantu siasatan dan kini direman bermula hari ini sehingga 6 Januari ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini. 

Sebelum ini, tular dalam media sosial mengenai kisah seorang wanita bersama sembilan anaknya yang diselamatkan oleh beberapa individu dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang setelah mendakwa menjadi mangsa penderaan fizikal dan mental oleh suaminya. 

Turut tular adalah gambar-gambar kecederaan dipercayai akibat didera oleh suspek pada badan anak-anak pasangan itu. Wanita tersebut turut mendakwa didera secara mental dan fizikal oleh suaminya sehingga bertindak meminta bantuan beberapa NGO serta individu untuk menyelamatkan diri dan sembilan anaknya. 

Menurut Rahimi, kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan rawatan perubatan dan siasatan lanjut masih dijalankan ke atas mangsa. 

“Kita sedang mengenal pasti berapa ramai anak-anak pasangan ini menjadi mangsa dera, namun tidak menolak kemungkinan lebih daripada seorang yang mengalami kecederaan,” katanya. 

Dalam pada itu tambah beliau, polis juga sedang menunggu laporan perubatan wanita tersebut yang merupakan warga asing bagi mengesahkan sama ada dia turut didera oleh suspek. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.