Sabah dilanda banjir, mangsa banjir di Kelantan meningkat


Sabah menjadi negeri terbaharu dilanda banjir yang menjejaskan 73 orang penduduk manakala Kelantan pula mencatatkan peningkatan mangsa banjir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Disember, 2021.

SABAH menjadi negeri terbaharu dilanda banjir yang menjejaskan 73 orang penduduk manakala kesemua mangsa di empat negeri kekal setakat malam ini.

Kelantan pula mencatatkan peningkatan mangsa banjir. 

Sebanyak enam kampung di Kota Marudu, SABAH dinaiki air susulan hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan paras air di dua sungai di daerah itu naik dan berada pada paras waspada.

Menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kota Marudu, kampung terbabit ialah Kampung Asin-Asin, Kampung Beliajung, Kampung Tingkalanon, Kampung Tongkungon, Kampung Taritipan dan Kampung Morion.

Berikutan itu, seramai 73 mangsa daripada 17 keluarga dari Kampung Beliajung ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang di Dewan Sekolah Kebangsaan Teritipan setakat 8 malam ini.

Kenyataan itu memaklumkan dua jalan turut terjejas akibat banjir tersebut dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan iaitu Jalan Langkon Pitas berdekatan Kampung Asin-Asin serta Jalan Tingkalanon, Kampung Marion.

Jumlah mangsa banjir di KELANTAN mencatatkan peningkatan setakat 9 malam ini, apabila seramai 1,128 orang daripada 365 keluarga berbanding 1,070 orang daripada 346 keluarga, petang tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), sebanyak 18 PPS dibuka melibatkan tiga jajahan iaitu 11 di Kuala Krai, enam di Jeli dan satu di Tanah Merah.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan hanya satu sahaja sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kelantan di Kuala Krai merekodkan bacaan 25.43 meter.

Jumlah mangsa banjir di TERENGGANU kekal 433 orang daripada 123 keluarga pada malam ini yang ditempatkan di tiga PPS.

Tiga PPS itu ialah surau Kampung Ban Ho di Kemaman yang menempatkan 43 mangsa daripada lapan keluarga, Dewan Serbaguna Kampung Shukur, Dungun (225 mangsa, 60 keluarga) dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dungun (165 orang, 55 keluarga).

Sementara itu, JPS melalui portal rasminya memaklumkan hanya stesen bacaan Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun sahaja masih melepasi paras amaran malam ini.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus kekal malam ini apabila Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri merekodkan 2,290 individu masih ditempatkan di 32 pusat pemindahan di lima daerah iaitu Pekan, Kuantan, Maran, Temerloh dan Bentong. 

Laman sesawang JPS pula melaporkan paras air di Sungai Tembeling di Kampung Merting, Jerantut sudah melepasi tahap bahaya dengan trend menaik malam ini.

Selain itu, lima stesen merekodkan paras air melebihi tahap amaran iaitu Jambatan Chegar Perah di Lipis, Sungai Dong di Kampung Peruas (Raub), Sungai Luit di Kampung Subuh (Maran), Sungai Kuantan di Pasir Kemudi (Kuantan) dan Sungai Tembeling di Kuala Tahan (Jerantut). 

Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir di negeri itu kekal seramai 97 mangsa melibatkan 27 keluarga yang ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding (20 orang) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil (77 orang) di Hulu Langat. 

Selain itu, Jabatan Meteorologi meramalkan hujan bakal berlaku di satu dua tempat di Selangor pada malam ini. 

Polis Selangor memaklumkan setakat 4 petang tadi, laluan di Jambatan FT 31 Dengkil-Banting dan Jalan Genting Peras-Kuala Klawang masih ditutup bagi laluan kenderaan ekoran dinaiki air serta jambatan jalan menghala ke Lapang Sasar, Subang rosak akibat banjir.

Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi Info Bencana JKM menunjukkan jumlah mangsa banjir membabitkan sebuah PPS di Jelebu kekal kepada 29 individu daripada sembilan keluarga setakat malam ini. – Bernama, 31 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen