Najib bebas tunggu rayuan, macam orang tidak bersalah, kata Dr Mahathir


Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad penangguhan hukuman itu adalah hak hakim tetapi berpandangan ia tidak wajar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Disember, 2021.

NAJIB Razak akan terus bebas “seperti orang yang tidak bersalah” untuk sekurang-kurangnya setahun lagi sementara menunggu rayuannya atas sabitan dan hukumannya ke Mahkamah Persekutuan, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri berkata penangguhan hukuman itu adalah hak hakim tetapi berpandangan ia tidak wajar.

“Belum pernah ada kes sebesar jenayah yang dilakukan oleh Najib. Ia adalah satu rekod dunia, mengikut Department of Justice (DoJ), Amerika Syarikat.

“Orang yang didapati bersalah kecil pun tidak pernah mendapat stay of execution seperti ini,” kata Dr Mahathir, menulis di blognya, hari ini.

Dengan gaya sinis, Dr Mahathir juga bertanya sama ada Najib akan terus aktif berpolitik dan bertanding pilihan raya.

“Kalau semasa menanti (rayuan) ia dibenar terus jadi ahli Dewan Rakyat, apakah ia juga dapat bertanding dalam PRU15.

“Jika ia menang dan sekali lagi jadi ahli Dewan Rakyat, apakah ia boleh jadi perdana menteri juga,” tanyanya.

Kalau itu berlaku, kata Dr Mahathir, Malaysia akan mencipta rekod dunia apabila banduan boleh jadi perdana menteri.

“Segala-gala the Rule of Law dihormati,” tambahnya.

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan peguambela Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara mereka memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Abdul Karim Abdul Jalil sebelum itu sebulat suara mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib melibatkan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah, dan pengubahan wang haram terkait RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Rayuan mengesahkan semua dapatan fakta dan undang-undang yang dibuat oleh hakim bicara di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur  Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang menjatuhkan hukumannya pada 28 Julai 2020.

Najib, yang juga ahli Parlimen Pekan, berdepan kemungkinan hilang kelayakan sekiranya hukuman terhadapnya dikekalkan selepas rayuan.

Dalam reaksinya segeranya Najib mempertahankan diri tidak bersalah dan tidak tahu menahu tentang duit RM42 juta yang masuk ke akaunnya. – 8 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen