Tony Pua angkuh, berlagak macam menteri, kata Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan bekas setiausaha politik menteri kewangan, Tony Pua sebagai seorang yang sombong dan berlagak seperti menteri ketika memegang jawatan tersebut waktu Pakatan Harapan memerintah negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2021.

TONY Pua angkuh dan berlagak macam menteri sedangkan beliau hanya setiausaha politik, kata Dr Mahathir Mohamad, menjawab bidasan pemimpin DAP itu terhadapnya ketika mengulas petikan memoir terbarunya yang akan dilancarkan hujung minggu ini.

Dalam bukunya Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia, Dr Mahathir mengupas tentang seorang pegawai kanan kepada bekas menteri kewangan Lim Guan Eng yang dakwanya masuk campur dalam urusan dasar kerajaan.

Dr Mahathir tidak menyebut nama pegawai berkenaan namun Pua dalam jawapan balasnya memahami pendedahan bekas perdana menteri itu ditujukan kepadanya.

“Ada ahli perniagaan beritahu saya yang dia begitu sombong. Dia berlagak macam dia menteri.

“Sebagai setiausaha politik, kamu sepatutnya melaporkan keadaan politik negara dan bukannya ke sana ke mari melaksanakan dasar kerajaan,” katanya.

Pua adalah bekas setiausaha politik kepada Lim semasa Pakatan Harapan jadi kerajaan di Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Orang lain pun ada datang beritahu saya dan mereka kata dia ini angkuh. Kalau saya nak sebut semua, jenuh saya nak tulis dalam buku tetapi saya cuma ambil satu kes sahaja.”

Dalam bukunya, Dr Mahathir antara lain dipetik menulis bagaimana Lim memberi banyak tugas kepada seorang pegawai kanannya sehingga pegawai merasakan berkuasa terhadap penjawat awam.

Pegawai itu turut mengambil bahagian dalam rundingan perniagaan membabitkan kerajaan walaupun tidak diberi kuasa untuk berbuat demikian.

Projek yang dimaksudkan merujuk kepada Exchange 106 yang merupakan bahagian daripada projek kontroversi Tun Razak Exchange.

Dalam penjelasannya yang dikirim kepada media selepas tengah malam tadi, Pua berkata projek berkenaan dikaitkan dengan taikun Indonesia Djoko Tjandra.

Katanya, beliau sendiri tidak terlibat dalam sebarang rundingan dengan syarikat Mulia Property Development Sdn Bhd.

Pua juga berkata Dr Mahathir buat-buat lupa dan memilih-milih apa yang berlaku sesuka hatinya untuk dimuatkan dalam memoirnya itu. β€“ 7 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen