Kerajaan kaji Jaringan Keselamatan Ekuiti  - Utusan Malaysia

Kerajaan kaji Jaringan Keselamatan Ekuiti 

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji mekanisme Jaringan Keselamatan Ekuiti (ESN) bertujuan memastikan saham yang dipegang agensi bermandat bumiputera kekal dalam kelompok syarikat bumiputera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mekanisme itu akan diperhalusi agar dapat mencapai ekuiti dan nilai bumiputera tanpa memberi kesan terlalu besar kepada daya saing agensi-agensi berkaitan dalam urusan pelaburan mereka.

Beliau berkata, kerajaan komited dalam usaha meningkatkan penglibatan perniagaan bumiputera dalam projek nasional berskala besar dan mengkaji polisi perolehan oleh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Melayari lebih 60 tahun tempoh kemerdekaan negara serta mendukung agenda pembangunan mampan, kerajaan amat menitikberatkan pencapaian keseimbangan dan kesaksamaan dalam kalangan rakyat.

“Walaupun bumiputera adalah kaum majoriti di negara ini iaitu seramai 20.9 juta atau 69.7 peratus, status sosioekonomi bumiputera masih pada tahap yang memerlukan peningkatan, khususnya kesenjangan kekayaan, jurang pendapatan serta pemilikan aset yang masih rendah.

“Sehingga hari ini, matlamat untuk mencapai 30 peratus penguasaan ekuiti bumiputera tidak pernah tercapai walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan sebelum ini untuk menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi pelbagai kaum di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TBP2030) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd. Latif Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md. Silmi Abd. Rahman.

Sehubungan itu, beliau berkata TBP2030 yang dilancarkan hari ini menjadi rujukan bagi mencapai agenda besar berkaitan Bumiputera.

Jelas beliau, di samping pendekatan baharu, TPB2030 juga berperanan memastikan kesinambungan kepada dasar dan inisiatif pemerkasaan bumiputera terdahulu, dengan penyesuaian semasa.

“TPB2030 menggariskan strategi jelas melalui program pembangunan dan inisiatif yang diselaraskan dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) serta didukung oleh Rancangan Malaysia Ke-12  (RMK-12) yang terangkum dalam konteks Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya