[VIDEO] Penduduk bantah projek pengeluaran pasir daratan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Penduduk bantah projek pengeluaran pasir daratan

SEKUMPULAN penduduk dari tiga buah kampung di Rantau berkumpul dan menyatakan bantahan mereka berhubung pelaksanaan projek pengeluaran pasir daratan yang dijalankan di Kampung Pasir Linsum, Rantau, Seremban. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penduduk dari tiga buah kampung hari ini berhimpun dan menyatakan bantahan mereka berhubung pelaksanaan projek pengeluaran pasir daratan yang dijalankan di Kampung Pasir Linsum, Rantau dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kampung Pasir Linsum, Ramdan Soratdy, 52, berkata, bantahan tersebut mengambil kira risiko projek pengeluaran pasir tersebut yang boleh mengancam keselamatan penduduk tiga buah kampung iaitu Kampung Seliau, Kampung Seliau Baru dan Kampung Pasir Linsum.

Jelas beliau, projek tersebut memberi ancaman kejadian banjir kepada penduduk malah menyebabkan hakisan di kawasan tersebut yang terletak berhampiran dengan Sungai Linggi.

PENDUDUK berkumpul dan menyatakan bantahan mereka berhubung pelaksanaan projek pengeluaran pasir daratan yang dijalankan di Kampung Pasir Linsum, Rantau, Seremban. – VIDEO/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

“Dahulu projek ini telah dibatalkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana ia mengganggu keselamatan penduduk namun sejak 21 Oktober lalu, projek ini telah dimulakan kembali oleh pihak Yayasan Negeri Sembilan (YNS).

“Penduduk kampung telah membuat bantahan awal namun, tiada sebarang tindakan malah pihak kontraktor pula tidak ada berjumpa atau mengadakan perbincangan dengan penduduk kampung,” katanya kepada kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, projek berkenaan juga sepatutnya dilaksanakan berjauhan dengan kawasan perumahan penduduk sekurang-kurangnya 100 meter berbanding hanya 25 meter ketika ini.

“Kini sudah berlaku hakisan sungai di kawasan tersebut malah terdapat lapan buah rumah yang telah retak kesan pelaksanaan projek ini. Penduduk juga bimbang, jambatan yang menghubungkan antara tiga buah kampung ini juga akan rosak ekoran kekerapan lori yang keluar masuk bagi projek pengeluaran pasir ini,” katanya.

Pengerusi Muafakat Sejahtera Negeri Sembilan, Hamdan Mohd. Noor pula berkata, sekiranya projek diteruskan akan berlakunya mendapan tanah yang tidak secara tidak langsung memberi risiko kepada kira-kira 200 buah rumah penduduk.

“Jika diteruskan kira-kira 200 buah rumah akan terjejas, projek tambatan banjir yang sedang dilaksanakan juga akan terjejas. Kami berharap projek ini dapat dihentikan segera,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JPKKP Kampung Seliau, Mazlan Saari, 60, berkata, dia berharap kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap bantahan penduduk kampung tersebut.

“Projek juga menyebabkan hasil sungai seperti ikan yang menjadi sumber pendapatan banyak yang mati, kerana projek ini menyebabkan keadaan sungai menjadi kotor,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya