Kumpulan Undi18 dekati belia Sarawak agar terlibat proses pilihan raya


Noel Achariam

Kumpulan Undi18 beri tumpuan kepada PRU15 memandangkan golongan muda tidak dibenarkan mengundi pada PRN Sarawak kali ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2021.

PERGERAKAN Undi18 akan menganjurkan beberapa program untuk mendekati belia Sarawak berikutan pengumuman pengundi dalam kumpulan umur tersebut tidak boleh mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Kumpulan itu berkata ia tidak akan membantah keputusan kerajaan yang tidak benarkan belia mengundi pada PRN ini tetapi akan menumpukan usaha pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri berkata, mereka sedar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan akan menggunakan daftar pemilih yang dikemas kini pada 2 November tahun ini.

“Kami tidak bercadang bantah perkara ini sebab SPR telah menyatakan mereka akan guna data daftar pemilih yang dikemas kini pada suku kedua.

“Sebaliknya, kami merancang beberapa aktiviti menjelang pilihan raya untuk orang muda terlibat dengan proses pilihan raya,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Qyira berkata walaupun mereka yang berumur 18-20 tahun tidak boleh mengundi, namun penting untuk pastikan belia Sarawak berminat ambil bahagian dalam proses itu.

Semalam, kerajaan mengesahkan belia berumur 18 hingga 20 tahun tidak boleh mengundi pada PRN Sarawak pada 18 Disember ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik tidak akan dilaksanakan pada PRN ini.

Beliau berkata, walaupun kerajaan sudah mewartakan arahan itu, kelayakan mengundi dalam PRN akan ditentukan daripada daftar pemilih.

Qyira berkata sebagai sebahagian daripada proses kesedaran mereka merancang beberapa aktiviti untuk melibatkan diri dengan golongan belia.

“Kami rancang buat webinar dengan calon parti, buat pemantauan kempen politik secara dalam talian, dan merekrut serta melatih belia Sarawak untuk jadi pemantau pilihan raya.

“Ini akan dijalankan oleh pasukan Undi Sarawak yang akan menganjurkan program dan melibatkan diri dengan golongan belia.”

Mengenai turun ke Sarawak untuk PRN, beliau berkata ia bergantung kepada keadaan semasa.

“Undi18 akan terus pantau PRN Sarawak dengan teliti dan merekodkan insiden kehilangan hak pengundi, terutamanya dalam mengesan kesukaran belia Sarawak pulang mengundi.”

Mengenai sama ada kerajaan telah melakukan secukupnya untuk melaksanakan Undi18, beliau percaya kerajaan tidak memberikan jawapan yang memuaskan.

“Setakat ini, dan amat mengejutkan, belia Malaysia perlu turun ke jalan raya dan mahkamah untuk meminta mereka bertanggungjawab dan tunaikan janji mereka,” katanya.

Daftar pemilih diperakui sebelum pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-11 pada 3 November 2021, mengikut Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Wan Junaidi berkata, keputusan itu berdasarkan proses undang-undang termasuk keputusan yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Kuching dan tidak menafikan atau mengetepikan hak dan kehendak belia berumur 18 tahun ke atas untuk mengundi.

Semalam, pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik telah diwartakan dan akan berkuat kuasa pada 15 Disember ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 1 Disember yang diterbitkan oleh Jabatan Peguam Negara.

Ia susulan arahan Wan Junaidi pada 7 September, kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya melaksanakan Undi18 selewat-lewatnya 31 Disember, bagi mematuhi keputusan Mahkamah Tinggi Kuching.

Pada 6 September, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi18 selewat-lewatnya 31 Disember. – 4 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen