Ikan pekasam air tangan Fatimah dapat sambutan - Utusan Malaysia

Ikan pekasam air tangan Fatimah dapat sambutan

FATIMAH Awang bersama Ketua Daerah Perikanan Rembau/Tampin, Md. Johari A Latif menunjukkan pelbagai jenis ikan pekasam yang dijualnya ketika ditemui di Kampung Tanah Datar, Gadong, Rembau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Selepas suaminya mengusahakan ternakan pelbagai jenis ikan, terdetik di hati Fatimah Awang, 57, untuk mengusahakan pula perniagaan ikan pekasam.

Selepas dua tahun menjalankan perniagaan tersebut, ikan pekasam hasil tangannya itu semakin mendapat sambutan orang ramai.

“Selepas suami, Mohd. Yasin Mohd. Said. 62, mengusahakan ternakan ikan di tanah seluas dua 0.81 hektar di Kampung Tanah Datar, Gadong, saya mula terfikirkan idea mengusahakan ikan pekasam.

“Hasil perkongsian resepi yang diperoleh dari rakan di utara tanah air, saya kini mampu menjual lebih 100 bungkus ikan pekasam sebulan. Sebelum Covid-19 melanda negara, saya mampu menjual sebanyak 50 peket sebulan.

“Ketika pandemik, jualan memang terjejas sedikit namun Alhamdulilah, kini jualan semakin baik selepas sekatan rentas negeri dibenarkan dan ada orang tengah yang membelinya daripada saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Fatimah, terdapat lima jenis ikan pekasam yang dihasilkannya iaitu ikan patin, keli, jelawat, lampam dan yang paling laris adalah ikan tilapia.

“Kebanyakan yang membeli adalah individu dari luar dan masih ramai lagi penduduk setempat tidak mengetahui kewujudan jualan ikan pekasam di sini.

“Saya tidak sangka usaha yang pada mulanya bagi mengisi masa terluang selepas bersara, kini mendapat sambutan menggalakkan. Alhamdulillah, selain dibantu suami, saya juga dibantu oleh anak-anak,” katanya lagi.

Sementara itu, berkongsi resepi, Fatimah memberitahu, ikan pekasam tersebut mengambil masa selama dua minggu untuk disediakan sebelum boleh dibungkus dan dijual pada harga sebanyak RM5.

“Selama seminggu, ikan ini akan diperap bersama garam dan asam keping kemudiannya seminggu lagi diperap dalam beras yang telah digoreng.

“Selain ikan pekasam ini, saya juga ada menjual set ikan baung sejuk beku bersama perencahnya bagi memudah orang ramai memasak gulai tempoyak dan ia dijual pada harga serendah RM15,” katanya yang turut menjual ikan salai. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya