Pakatan dakwa peguam negara amal pendakwaan terpilih 


Kegagalan Peguam Negara Idrus Harun untk mengambil tindakan terhadap kes bekas pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman selepas enam bulan menunjukkan beliau salah guna kuasa dan mengamalkan pendakwaan terpilih, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan.– Gambar Facebook, 26 November, 2021.

PEGUAM Negara Idrus Harun menyalahgunakan kuasanya dengan mendakwa individu secara terpilih berdasarkan fahaman politik, kata majlis presiden Pakatan Harapan hari ini.

Merujuk kepada penahanan bekas pengerusi Prasarana Tajuddin Abdul Rahman yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Mei kerana didakwa salah guna kuasa, PH berkata namun kes itu tiada perkembangan sehingga kini.

“Namun, seperti yang semua sedia maklum, hingga ke hari ini beliau masih tidak dibawa ke mahkamah. Kegagalan Peguam Negara mengambil tindakan dalam kes ini selepas 6 bulan telah berlalu jelas menunjukkan bahawa beliau sendiri menyalahgunakan kuasanya dengan melakukan pendakwaan berpilih yang bermotif politik,” kata PH dalam satu kenyataan.

Semasa Tajuddin ditahan oleh SPRM, ketua pesuruhjayanya Azam Baki berkata pihaknya menyelesaikan siasatan berkaitan kemungkinan berlaku salah guna kuasa dalam Prasarana dengan kertas siasatannya diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Azam berkata SPRM masih menunggu arahan daripada peguam negara.

Tajuddin, yang merupakan ahli Parlimen Pasir Salak, dipecat pada 26 Mei sebagai pengerusi Prasarana Malaysia Bhd, berkuat kuasa serta-merta. Beliau dilantik sebagai pengerusi Prasarana pada Mei tahun lalu selepas kerajaan Perikatan Nasional berkuasa.

Majlis presiden PH berkata kes Tajuddin mempunyai persamaan dengan Ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Mansor.

Tengku Adnan didapati bersalah pada Disember lalu atas tuduhan rasuah dan dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Keputusan itu bagaimanapun dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 16 Julai, walaupun seorang daripada panel tiga hakim menentang. 

Ini menyebabkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan tiga hari kemudian. Bagaimanapun, rayuan itu telah ditarik balik awal bulan ini.

“Oleh itu, kami menggesa peguam negara untuk segera memberi penjelasan mengapa YB Pasir Salak tidak dihadapkan ke mahkamah.

“Sekiranya beliau gagal mendakwa beliau, maka peguam negara tidak layak memegang jawatan penting ini.” – 26 November, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen