Jangan sembunyi masalah buruh paksa, kata Ramasamy kepada Putrajaya


Beberapa buah syarikat termasuk pengeluar produk berasaskan getah berulang kali dikenakan sekatan import oleh Amerika Syarikat kerana masalah buruh paksa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Oktober, 2021.

KERAJAAN tidak sepatutnya terus berselindung di sebalik penyelesaian bersifat sementara yang tidak berkesan bagi menangani masalah buruh paksa di negara ini, kata P Ramasamy hari ini.

Sebaliknya kerajaan perlu mengakui wujudnya masalah buruk paksa di Malaysia dan mengukuhkan iltizam politik bagi menghukum majikan yang mengeksploitasi pekerja mereka.

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata sebagai permulaan Kementerian Sumber Manusia perlu melakukan siasatan sistematik dan menyeluruh terhadap persekitaran kerja di negara ini.

Tambahnya, kementerian juga perlu menyiasat punca majikan ini berani melanggar undang-undang pekerja dengan menggunakan buruh paksa.

Ramasamy berkata, pada masa sekarang kementerian dilihat lebih bersifat reaktif kepada tekanan luar dan tidak berminat menghapuskan masalah buruk paksa yang memalukan negara.

“Adakah menteri (sumber manusia) Saravanan (Murugan) bersedia mengakui yang kerajaan tidak ada iltizam politik untuk menghukum majikan, yang besar atau kerdil, kerana melanggar undang-undang buruh di negara ini,” kata pemimpin DAP itu dalam satu kenyataan.

Ia dikeluarkan bagi mengulas pengumuman Saravanan pada Jumaat lepas yang Pelan Tindakan Buruh Paksa Nasional akan dilancarkan bulan depan bagi mengatasi masalah itu termasuk dalam sektor pembuatan sarung tangan getah.

Pengumuman itu dibuat selepas Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP) mengenakan sekatan import produk berasaskan getah dikeluarkan anak syarikat Supermax Corporation Bhd.

Sekatan itu dikenakan berasaskan siasatan US CBP yang mendapati syarikat itu memenuhi 10 petunjuk berlakunya masalah buruh paksa dalam operasinya.

Sebelum ini, beberapa buah syarikat Malaysia juga dikenakan sekatan AS kerana gagal mematuhi petunjuk isu buruh paksa. – 24 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen