Kawal platform e-dagang, lindungi usahawan tempatan untuk pemulihan ekonomi


PARTI Pejuang menyaran supaya kerajaan menyekat penjualan beberapa kategori barangan luar dalam platform e-dagang untuk membantu dan melindungi usahawan tempatan terutamanya dalam industri mikro, kecil dan sederhana untuk kembali pulih dari krisis ekonomi yang telah menggugat banyak perniagaan.

Rakyat Malaysia membeli barangan China melalui platform atas talian bernilai AS$49.4 bilion pada tahun 2020 dan merupakan negara keempat pembeli atas talian terbesar dari segi nilai dagang kasar pada promosi jualan 11.11 tahun lepas, selepas Amerika Syarikat, Russia dan Perancis.

Jumlah ini lebih besar berbanding dengan Singapura (AS$28.2 bilion), Jepun (AS$13 bilion), Amerika Syarikat (AS$12.8 bilion), dan Taipei China (AS$10.3 bilion). 

Aliran tunai keluar negara AS$49 bilion atau RM220 bilion adalah jumlah yang besar yang boleh dibelanjakan untuk barangan tempatan.

Terdapat 14.4 juta pengguna e-dagang di Malaysia dan dijangka meningkat hampir 4 juta pengguna e-dagang baru menjelang 2025. Jumlah ini mewakili 77% dari jumlah populasi negara kita. 

Purata pembelian atas talian setiap pengguna e-dagang berjumlah AS$383 setahun dan dijangka akan meningkat menjadi AS$530 setahun menjelang 2025. Jika sektor-sektor tempatan tidak dibendung dari awal, kami khuatir bukan sahaja usahawan tempatan tetapi ekonomi Malaysia juga terjejas dengan jumlah import melebihi jumlah eksport.

Sekatan penjualan barangan luar ini juga dapat melindungi inisiatif dan usaha kerajaan yang telah memperuntukkan RM4.6 bilion pada belanjawan 2020 untuk pembangunan usahawan. 

Semenjak 2010 kerajaan melalui agensi Tekun telah membimbing seramai 219,674 orang usahawan dalam pelbagai industri melalui program Asas Keusahawanan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga dan beratus ribu usahawan lain melalui pelbagai agensi kerajaan.

Segala usaha ini akan terbiar jika produk dan barangan tempatan gagal bersaing dengan barangan import dari China yang memang jauh mempunyai kekuatan kewangan untuk mengeluarkan barangan dan produk dengan lebih kuantiti dan kualiti.

Kerajaan juga telah banyak berbelanja besar berkempen untuk membeli barangan buatan Malaysia tetapi tanpa halangan dan kawalan akses kepada produk luar, usahawan yang masih berjuang untuk bertahan mungkin tidak lagi dapat bertahan dan kempen tersebut akan lebih menguntungkan penjual luar negara dan barangan impot dari tempatan.

Permintaan untuk menghad jualan barangan import di platform atas talian seperti Lazada dan Shopee diterima baik dan dilaksanakan oleh Kerajaan Indonesia yang telah melaksanakan perintah kawalan barangan jualan atas talian untuk 13 kategori semenjak bulan Mei 2021.

Jumlah perbelanjaan e-dagang Malaysia dalam semua kategori produk adalah AS$5 bilion dan dijangka mencecah AS$9.6 bilion pada tahun 2025. Kategori Fesyen merupakan kategori produk utama, bernilai AS$1.8 bilion. Elektronik & Media berada di kedudukan kedua, berjumlah AS$1.4 bilion. 

Menjelang tahun 2025, fesyen dijangka akan terus berada di kedudukan teratas dengan nilai AS$3.5 bilion. Penjualan barangan Elektronik & Media di atas talian juga dijangka akan berkembang mencapai AS$2.4 bilion.

Trend pembelian atas talian rakyat Malaysia tertumpu kepada fesyen, kecantikan, elektronik, makanan dan penjagaan diri dan lebih dari 52% pembelian atas talian dibelanjakan ke atas produk-produk luar negara melalui platfom Lazada dan Shopee

Produk-produk import di bawah kategori fesyen seperti jilbab, pakaian muslim dan muslimah, telekong, aksesori muslim, peralatan solat, batik dan kebaya perlu disekat dari terus dijual disemua platform atas talian termasuk Shopee dan Lazada.

Kerajaan perlu mengkaji semua kategori-kategori yang dipelopori oleh industri mikro, kecil dan sederhana dan membantu mereka dengan menghadkan penjualan atas talian oleh penjual luar supaya mereka dapat kembali bernafas sekurang-kurangnya sehingga ekonomi kita kembali pulih.

Selain dari menyekat penjualan barangan luar, kami juga menggesa kerajaan untuk memberi lebih tumpuan kepada sektor perkhidmatan kecil seperti tukang gunting rambut, tukang jahit dan lain-lain kerana mereka bukan sahaja terjejas dengan perintah kawalan pergerakan tetapi mereka juga masih jauh ketinggalan dalam digitalisasi. – 19 Oktober, 2021.

* Armin Baniaz Pahamin, Ketua Biro Ekonomi Pusat Parti Pejuang Tanah Air.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen