Lebih 32,000 kenderaan masuk Kelantan sejak Khamis, kata polis


Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata jumlah itu melibatkan laluan masuk Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh, kebanyakannya perantau balik kampung dan pelancong domestik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2021.

KETUA Polis Kelantan Shafien Mamat berkata lebih 32,000 kenderaan dikesan memasuki negeri itu sejak 14 Oktober hingga semalam.

Beliau berkata jumlah kemasukan itu melibatkan laluan di pintu masuk utama Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh dengan kebanyakan mereka adalah perantau yang pulang ke kampung serta pelancong domestik.

Shafien juga tidak menolak kemungkinan bahawa jumlah kemasukan kenderaan ke Kelantan dijangka meningkat menjelang cuti umum sempena sambutan Maulidur Rasul Selasa ini susulan keputusan kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri bagi individu yang lengkap vaksinasi Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata polis melalui 154 pasukan akan sentiasa melaksanakan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung jangkitan Covid-19 terutama di kawasan tumpuan.

“Di sekitar pusat bandar Kota Bharu, kita dapati berlaku pertambahan kenderaan tetapi tidak begitu sesak kerana kemungkinan mereka mengikut jadual perjalanan masing-masing dan keadaan itu akan sentiasa dipantau pasukan yang ditubuhkan baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Shafien berkata pihaknya tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku pelanggaran SOP oleh mana-mana individu meskipun Kelantan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara mulai esok. – Bernama, 17 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen