Putrajaya perlu dengar rintihan golongan miskin, kata Suhakam


Suhakam berkata kemiskinan di Malaysia masih berterusan sehingga hari ini, terutamanya dalam kalangan rentan ekonomi dan sosial, melibatkan pekerja gaji harian, pekerja kontrak, ibu bapa tunggal, Orang Asli, dan orang kurang upaya.– Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Oktober, 2021.

PUTRAJAYA perlu amalkan pendekatan berasaskan hak asasi manusia untuk basmi kemiskinan seperti memasukkan penyertaan aktif masyarakat rentan dalam keputusan yang mempengaruhi mereka, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Dalam satu kenyataan, Suhakam berkata kerajaan, sebagai pemangku tugas, perlu memenuhi prinsip-prinsip kesaksamaan dan bukan diskriminasi, dengan ini dapat memberi kuasa kepada setiap individu menuntut dan menggunakan hak mereka.

Ia menekankan strategi yang lebih tersusun ini dimasukkan terutamanya dalam Pelan Pemulihan Negara dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (2021-2025), bagi membasmi kemiskinan melamau dan juga mengurangkan kesan pandemik Covid-19.

Kenyataan Suhakam ini dikeluarkan bersempena dengan Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa hari ini bagi mendorong aktiviti jitu membasmi kemiskinan yang sesuai dalam konteks negara.

Ia berkata kemiskinan di Malaysia masih berterusan sehingga hari ini, terutamanya dalam kalangan rentan ekonomi dan sosial, melibatkan pekerja gaji harian, pekerja kontrak, ibu bapa tunggal, Orang Asli, dan orang kurang upaya (OKU).

Pada 2019, Profesor Philip Alston, pelapor khas PBB mengenai kemiskinan tegar dan hak asasi manusia menyatakan terdapat sekurang-kurangnya 110 program sokongan sosial yang berlainan yang tersebar daripada lebih 20 kementerian dan agensi di Malaysia.

Justeru Suhakam menyeru semua pihak berkepentingan memainkan peranan mereka memastikan masyarakat rentan dapat menikmati setidaknya standard minimum kehidupan bermaruah yang ditetapkan oleh Perisytiharan Hak Asasi Manusia (UDHR).

Malaysia melaporkan dalam tempoh setahun sahaja jumlah isi rumah miskin meningkat dari 405,400 pada 2019 kepada 639,800.

Menurut Jabatan Perangkaan, kesan sebenar pandemik di Malaysia dapat dibuktikan dengan lebih baik melalui tinjauan pendapatan isi rumah dan kemudahan asas, yang akan dibuat pada 2022. – 17 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen