"Bila pengurus artis lebih sudu daripada kuah" - Utusan Malaysia

“Bila pengurus artis lebih sudu daripada kuah”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH sudu daripada kuah? Tidak semua, tetapi ada.

Sikap pengurus artis yang seperti ini hakikatnya memang ad dalam industri seni hiburan dan mungkin bukanlah satu perkara yang boleh dianggap baru pun.

Perumpamaan itu boleh dilihat pada banyak aspek, sama ada ketika dia berada di sesebuah majlis atau acara hiburan, sedang mengendalikan sidang media, hatta ketika berurusan di belakang tabir sekali pun.

Kita faham benar bahawa sebagai seorang pengurus artis, mereka berhak menjalankan tugas mereka atas nama profesionalisme. Namun, ada ketikanya, wujud segelintir pengurus yang kelihatan terlalu berlebih- lebihan sehingga membayangi artis yang dikendalikan dalam sesuatu perkara.

Sebenarnya banyak sahaja situasi yang boleh dijadikan contoh atas kejengkelan profesionalisme itu tadi. Cuma, kalau disebut satu-persatu, bimbang pula tersingkap kain masing-masing apa lagi ketika si artis sudah buat onar dan terlibat dengan kontroversi memalukan.

Berikut adalah pandangan beberapa pengurus artis tempatan berhubung isu ini.

Bertimbang rasa dan berbincanglah – Nasir Deraman

MENGURUSKAN beberapa artis terkenal sebelum ini termasuk Andi Bernadee, Nasir tidak menyangkal bahawa isu seperti ini berlaku dalam kalangan pengurus selebriti dan artis namun ia bergantung kepada situasi dan kerja-kerja rundingan yang dikendalikan.

Bagaimanapun, secara peribadi, sebagai pengurus, dia lebih selesa menerapkan budaya
berbincang dan bertimbang rasa dengan artis yang dijaga selain percaya komunikasi adalah kunci utama dalam mencapai persefahaman antara dua belah pihak.

“Kalau ada sebarang tawaran kerja, biasanya saya akan berbincang dulu dengan artis sama ada dia nak ambil atau tidak sebab saya punya cara, tak suka memaksa artis yang dijaga untuk membuat sesuatu kerja tanpa kerelaannya.

“Makna kata, bukan sebab duit semata- mata. Tetapi, biasanya artis-artis yang
saya jaga tidak banyak kerenah dan senang berbincang. Kalau nak sebut pasal lebih sudu daripada kuah ini, adakala mungkin pengurus perlu jadi begitu ikut situasi.

“Nak tak nak, kita kena pertahankan artis yang dijaga. Contoh, kalau berlaku sesuatu kontroversi,kita akan nasihatkan. Yang salah tetap salah, yang betul akan ditegakkan.

“Bergantung kepada isu atau perkara yang berbangkit pada waktu itu,”katanya.

Bagi Nasir lagi, secara dasarnya, pengurus bertanggungjawab terhadap artis yang dikendalikan dan tidak salah sekiranya artis juga melontarkan nasihat kepada pengurus jika ada perkara yang dilihat tidak kena dek mata.

“Di sinilah maksud saya berbincang itu. Kalau ada perkara tak betul, kita sama-sama perbetulkan. Artis pun boleh perbetulkan kita sebagai pengurus mereka. Itu cara sayalah, mungkin pengurus lain berbeza cara.

“Apa yang penting, kedua-dua pihak saling mendapat kata sepakat dan keputusan yang bagus,”katanya.

Fahamkan skop kerja – Opie Sofia

BAGI bekas pengamal media yang kini bertugas sebagai Pegawai Perhubungan Publisiti, Opie Sofia berpandangan bahawa umum perlu faham skop kerja masing-masing.

“Dari pengalaman saya tidak pernah berdepan atau dengar PR yang seumpama itu. Berkemungkinan ada yang salah faham dengan cabang PR, pengurus dan pembantu peribadi.

“Sebenarnya kalau PR, mereka ini bertindak sebagai pemudah cara atau orang tengah bagi sesuatu urusan dan membantu perihal berkaitan jika berlakunya krisis.

“Tetapi, pengalaman sendiri memang selalunya mahu menyenangkan hati kedua belah pihak artis dan media. Ada masalah cari jalan tengah yang boleh diselesaikan,” ujarnya.

Katanya lagi, PR generasi muda yang bekerja dalam industri hiburan perlu perbaiki skil komunikasi dan cara berinteraksi dengan warga industri kreatif.

“Daripada pengamatan saya, orang muda ada kecenderungan untuk bercakap dengan lebih santai. Tetapi kenalah tengok dengan siapa, tidak boleh pukul rata.

“Kena ada rasa menghormati dan kalau berdepan masalah krisis pun jangan terlebih marah kerana tidak akan selesai.

Kita tidak akan tahu mungkin pada masa mendatang akan bekerjasama lagi bukan?

“Mereka kena lebih gali ilmu PR dan ambil tahu berhubung perihal seni termasuk siapa media dan dari organisasi mana. Pendek kata, jangan ambil mudah saja,”katanya.

Bukan nak jadi PR, cuma gemar cara hidup sahaja -Hazirah Tahir

SEORANG lagi pengurus, Hazirah Tahir yang juga merupakan tulang belakang label terkenal, Rusa Music berkongsi, kehidupan dengan tugas sebagai PR bukan suatu perkara yang mudah dan diakui memenatkan.

Dia yang lebih mesra disapa sebagai Ira berpendapat, segelintir PR yang berlebih-lebihan mengalahkan artis ini cuma mahukan cara hidup yang lebih gemar bersama orang dikenali berbanding minat terhadap kerjaya sebagai PR.

“Ira bukan jenis PR sebegitu. Jika artis itu okay, tetapi PR itu yang berlebihan, ia memang masalah PR berkenaan.

“Ramai juga seperti ini, dia bukan nak menjadi seorang PR sangat namun lebih gemar akan cara hidup sahaja. Apabila orang nampak dia bekerja dengan artis, pergi majlis atau sebagainya.

“Orang lain akan lihat dia ‘wah,seronoknya bekerja dengan artis’. Tetapi hakikatnya sebagai seorang PR ini sangat penat kerana kita menaikkan seseorang artis dan menjaga kariernya bukan mudah,” tuturnya ketika ditemu bual.

Ira yang sudah enam tahun dengan kerjaya ini menegaskan setiap PR sebaiknya memahami skop tugasan terlebih dahulu.

“Baik buruk seorang artis itu adalah sebahagian kerja kita. kalau mereka nak kejar kehidupan sebegitu, bagi Ira tidak perlulah nak ambil bidang ini. Sebaiknya, jadi pembantu peribadi artis sahaja.

“Kalau mereka lihat kerjaya ini sebagai betul-betul kerja untuk mencari makan, dia bukan kerja sekadar nak menjadi PR kerana cara hidup bidang ini.

“Seorang PR ini adalah kita mencorakkan karier seseorang artis dari segi mendapatkan job serta persembahan,” katanya.

Layan orang sama rata – Ianzfaris

PENGURUS dan Penjenamaan Artis Izzmad Harun Empire, Ianzfaris Mohd. Tahir pula berkata, mereka yang berada dalam bidang ini perlu mengamalkan sikap rendah diri
dan tidak ‘memilih bulu’ dalam menjalankan tugas mereka.

Katanya, sikap tersebut akan menjadikan seseorang pengurus atau pembantu artis itu disenangi pihak lain.

“Bagi saya, secara peribadi, kita kena layan orang sama rata. Kena bersikap rendah diri, tak kiralah apa latar belakang kita, dari pelosok mana kita datang. Cuba untuk sentiasa ada untuk membantu.

“Tiada apa dalam dunia ini yang bersifat kekal. Hari ini awak di atas, esok awak di bawah,” katanya.

Kata Ianz lagi, hubungan yang ada dengan individu sekeliling dalam industri perlu dijaga baik, bukan dimusnahkan dengan sikap sombong dan mementingkan diri sendiri.

“Sentiasa jaga hubungan dan cuba untuk saling mengenali walau apa juga jenis layanan yang diterima. Layan orang sama rata. Anggap sesiapa sahaja yang kita jumpa itu berpotensi menjadi sahabat anda.

“Kita, dalam industri ini saling memerlukan. Jadi, sentiasa merendah diri agar disenangi,” ujarnya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya